'Badan Sigmon tersentak dua hingga tiga kali, tompok merah memenuhi badannya' - Utusan Malaysia

‘Badan Sigmon tersentak dua hingga tiga kali, tompok merah memenuhi badannya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang wartawan Associated Press (AP) yang menyaksikan hukuman tembak hingga mati terhadap seorang pesalah bunuh di South Carolina menggambarkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang ‘melekat dalam ingatannya’.

Jeffrey Collins, yang sudah menyaksikan pelaksanaan hukuman mati di South Carolina selama 21 tahun untuk agensi berita itu menulis sebuah esei pendek tentang pengalamannya.

Sigmon merupakan individu tertua yang dihukum mati dalam sejarah negeri itu, dan kematiannya adalah sebahagian daripada siri pelaksanaan hukuman mati yang dilaksanakan dengan pantas oleh negeri itu dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini selepas menghidupkan semula hukuman mati.

Selepas 13 tahun, South Carolina kini mengarahkan pesalah yang menunggu hukuman mati untuk memilih kaedah kematian mereka sama ada kerusi elektrik, suntikan maut, atau tembak. Perkembangan ini dikutuk secara meluas oleh aktivis hak asasi manusia dan kumpulan anti-hukuman mati.

Sigmon, yang disabitkan kesalahan membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya, David dan Gladys Larke pada 2001 memilih untuk ditembak hingga mati berikutan maklumat yang tidak jelas tentang dadah yang digunakan dalam suntikan maut dan kebimbangan ia mungkin mengambil masa yang lama untuk bertindak.

“Sebagai seorang wartawan, anda bersiap sedia untuk sesuatu tugasan, menyelidik kes dan membaca tentang subjek tersebut.

“Dalam tempoh dua minggu sejak mengetahui bagaimana Sigmon akan mati, saya membaca tentang skuad tembak dan kerosakan yang boleh dilakukan oleh peluru. Saya melihat gambar autopsi lelaki terakhir yang ditembak mati oleh negeri itu di Utah pada 2010.

Collins kemudian menerangkan secara terperinci tentang skuad tembak dan pengalaman menyaksikannya.

“Mustahil untuk mengetahui apa yang diharapkan apabila anda tidak pernah melihat seseorang ditembak pada jarak dekat tepat di hadapan anda.

“Skuad tembak sememangnya lebih pantas dan lebih ganas berbanding suntikan maut. Ia juga lebih tegang. Jantung saya mula berdegup kencang selepas peguam Sigmon membaca kenyataan terakhirnya. Penutup kepala diletakkan di atas kepala Sigmon, dan seorang pekerja membuka langsir hitam yang melindungi tempat di mana tiga sukarelawan penembak dari sistem penjara berada.

“Kira-kira dua minit kemudian, mereka melepaskan tembakan. Tiada amaran atau kiraan detik. Bunyi tembakan yang tiba-tiba itu mengejutkan saya. Tompok merah sebesar penumbuk kecil muncul di tempat Sigmon ditembak dan dadanya bergerak dua atau tiga kali.

“Seorang doktor muncul dan melakukan pemeriksaan sebelum Sigmon diisytiharkan mati pada pukul 6.08 petang. Saya tidak akan melupakan bunyi tembakan itu, selain tersemat dalam ingatan Sigmon bercakap atau menggerakkan mulutnya ke arah peguamnya, cuba memberitahu bahawa dia baik-baik saja sebelum penutup kepala diletakkan,” tulisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya