BEIJING: Seorang lelaki dari China terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas arteri di mukanya pecah akibat tabiatnya yang suka mengorek hidung.
Kejadian pelik ini dikongsi secara dalam talian oleh isteri lelaki tersebut melalui sebuah klip video pendek yang merakam pengalaman suaminya.
Tujuan wanita itu mendedahkan perkara itu adalah untuk memberi amaran kepada orang lain agar tidak terlalu kerap mengorek hidung.
Lelaki yang tidak dinamakan ini berasal dari Bandar Xianyang, Wilayah Shaanxi, dan dikatakan memang gemar mengorek hidung sama ada ketika berdiri, duduk, atau berbaring di atas katil, dia sering memasukkan jari ke dalam hidungnya.
Namun, baru-baru ini, tabiatnya itu membawa padah apabila suatu hari, ketika dia mengorek hidung seperti biasa, hidungnya tiba-tiba berdarah dengan teruk dan tidak berhenti mengalir walaupun dia dan isterinya berusaha menghentikannya.
Akhirnya, pasangan tersebut pergi ke hospital dan doktor mendiagnosis lelaki tersebut mengalami arteri pecah sebelum melakukan pembedahan kecemasan bagi merawat kecederaannya.
Isteri lelaki itu merakam seluruh pengalaman mereka di hospital, termasuk soalan sindirannya kepada suaminya selepas pembedahan.
“Sayang, kenapa tak korek hidung lagi? Bangunlah dan korek lagi,” katanya. Rakaman tersebut kemudian dikongsi dalam talian.
Pakar kesihatan memberi amaran mengorek hidung boleh meningkatkan risiko jangkitan, namun jika ia menjadi tabiat, ia boleh menyebabkan lebih banyak masalah seperti merosakkan mukosa hidung.
Dalam kes yang teruk seperti ini, ia juga boleh merosakkan saluran darah atau tisu dalam rongga hidung, malah menyebabkan pecah arteri.