MEKAH: Suruhanjaya Fesyen di bawah Kementerian Kebudayaan Arab Saudi memperkenalkan inisiatif baharu yang mengitar semula ihram terpakai bagi mengurangkan pembaziran tekstil semasa ibadah haji dan umrah.
Melalui kerjasama firma Saudi Investment Recycling dan syarikat fesyen lestari Tadweem, projek yang diumumkan bulan lalu itu menukar beribu-ribu kain ihram terpakai yang dibuang setiap tahun menjadi pakaian baharu sambil memelihara nilai-nilai keagamaan serta alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Fesyen, Burak Cakmak berkata, sebanyak 336 tong kutipan dipasang di Mina bagi melaksanakan inisiatif itu.
“Ihram mungkin bukan perkara pertama yang terlintas apabila kita bercakap tentang fesyen, tetapi ia adalah pakaian yang digunakan dalam jumlah besar dan berulang kali setiap tahun.
“Kami sudah menyediakan tong kutipan di Mina untuk mengumpulkan bertan-tan kain ihram terpakai. Pakaian ini kemudian akan dipilih, dibersihkan, dicincang dan ditenun semula menjadi fabrik baharu.
“Inisiatif ini bukan sekadar menawarkan pilihan yang lebih lestari, tetapi juga menyelaraskan perjalanan ibadah dengan amalan penjagaan alam sekitar,” katanya kepada Arab News.
CEO Tadweem, Mustafa Bukhari berkata, urusan pemprosesan bahan mentah dilakukan di Dubai sementara Turkiye menjalankan proses pembuatan, namun pihaknya merancang memindahkan pengeluaran ke Arab Saudi dalam masa terdekat.
Ihram itu dijual pada harga 98 riyal (RM116.16) dan kini tersedia di Madinah, dengan rancangan meluaskan jualan ke Mekah, lapangan terbang dan kedai khusus.
Tadweem turut mempamerkan beg kulit berkualiti tinggi yang dihasilkan daripada kain ihram kitar semula.