JEDDAH: Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi mengagihkan puluhan ribu naskhah al-Quran kepada jemaah umrah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di sini, semalam.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), sebanyak 29,000 naskhah al-Quran dalam bahasa Arab dan pelbagai bahasa lain diedarkan kepada jemaah yang baru tiba bagi menunaikan ibadah umrah.
Naskhah tersebut diterbitkan oleh Kompleks Raja Fahd untuk Percetakan al-Quran di Madinah.
Jemaah umrah yang tiba melahirkan rasa syukur dan gembira menerima naskhah al-Quran, selain memuji layanan mesra kerajaan Arab Saudi serta usaha berterusan dalam memartabatkan Islam dan membela umat Muslim di seluruh dunia.
Menurut SPA, sebilangan jemaah menyifatkan pemberian al-Quran dalam bahasa mereka sebagai hadiah amat bermakna yang akan terus menjadi panduan selepas pulang ke tanah air masing-masing.