LONDON: Saintis mendedahkan kebolehan istimewa seekor anjing, Jodie yang mampu menghidu dan mengenal pasti bakteria tertentu dan tidak lama lagi, ia mungkin memainkan peranan penting dalam membantu penyelidik membangunkan program di mana anjing boleh digunakan untuk mengesan individu yang dijangkiti mikrob berbahaya.
Projek yang dilancarkan oleh saintis di Imperial College London ini dianggap sangat penting dalam menangani rintangan antibiotik serta merawat pesakit dengan penyakit paru-paru dan keadaan kesihatan lain.
“Kami percaya Jodie, iaitu anjing jenis labrador emas dan anjing-anjing pengesan perubatan lain menunjukkan cara baharu untuk mengenal pasti individu yang dijangkiti, hanya dengan menghidu stoking atau baju mereka. Anjing ini boleh menjadi bantuan besar dalam menangani rintangan antimikrob dan keadaan seperti fibrosis sistik,” kata Profesor Jane Davies dari Imperial College.
Fibrosis sistik adalah satu daripada penyakit keturunan yang paling biasa di dunia. Protein yang rosak menyebabkan lendir terkumpul di paru-paru dan organ lain, mencetuskan jangkitan kronik yang semakin teruk sepanjang hayat.
80 tahun lalu, kebanyakan pesakit meninggal dunia pada usia remaja. Namun, ubat-ubatan yang dipanggil modulator kini memberikan peluang kepada pesakit untuk hidup hingga usia tua namun kejayaan ini membawa masalah baharu.
Ubat modulator telah meningkatkan keadaan keseluruhan pesakit, tetapi ia tidak sepenuhnya membunuh semua jangkitan paru-paru kronik yang menjejaskan mereka. Kebanyakan pesakit masih dijangkiti bakteria yang pertumbuhannya boleh membahayakan kesihatan mereka.
“Masalahnya ialah bakteria dalam pesakit kini lebih sukar dikesan. Modulator mengurangkan lendir dalam paru-paru mereka, dan tanpanya, sukar bagi mereka untuk batuk dan mengeluarkan kahak yang boleh digunakan untuk menilai status bakteria mereka. Di sinilah anjing-anjing ini memainkan peranan,” kata Davies.
Beberapa tahun lalu, Davies dan pasukannya, dengan sokongan Cystic Fibrosis Trust, menjalankan penyelidikan di mana beberapa anjing menunjukkan kebolehan mengesan sampel yang dibiakkan di makmal yang mengandungi bakteria pseudomonas. Bakteria ini boleh mencetuskan radang paru-paru, jangkitan saluran kencing, dan septisemia yang sering menjadi masalah kesihatan serius bagi pesakit fibrosis sistik.
Sebagai sebahagian daripada ujian, anjing-anjing yang disediakan oleh badan amal Medical Detection Dogs, termasuk Jodie, dibawa ke bilik ujian di mana sampel diletakkan pada penyangga setinggi kepala anjing. Penyangga ini sama ada mengandungi pseudomonas, bakteria lain, atau tiada bakteria langsung.
Anjing-anjing itu berjalan di sekitar bilik sambil menghidu setiap sampel, dan apabila mereka mengesan pseudomonas, mereka akan duduk.