TEL AVIV: Seorang ahli politik Israel memberi amaran negara haram itu kini menuju ke arah krisis Perlembagaan yang mendalam serta kemungkinan keruntuhan keseluruhan sistem pentadbiran akibat dasar-dasar Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Mossi Raz yang merupakan bekas anggota Knesset dari parti sayap kiri Meretz berkata, perpecahan yang berlaku di Israel bukan berpunca daripada konflik dengan Palestin, sebaliknya disebabkan oleh perbezaan pendirian terhadap kepimpinan Netanyahu.
“Perpecahan ini melibatkan penyokong Netanyahu yang menyokong tindakan melemahkan demokrasi, menggalakkan rasuah dan menafikan hak rakyat, serta pihak yang menentangnya. Namun, saya tidak berpuas hati dengan kelemahan mereka dalam menentang penjajahan Israel ke atas Palestin,” katanya kepada agensi berita Anadolu.
Tambah beliau perpecahan ini semakin meruncing susulan demonstrasi besar-besaran yang berlaku di seluruh Israel.
Protes besar-besaran itu tercetus berikutan tindakan kerajaan memecat Ketua Perkhidmatan Keselamatan dalam Negeri Shin Bet, Ronen Bar, serta menarik balik kepercayaan terhadap Peguam Negara Gali Baharav-Miara, satu langkah yang dilihat sebagai usaha Netanyahu untuk memperkukuh penguasaannya terhadap institusi negara.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung Israel telah menolak permohonan Netanyahu untuk membatalkan pemecatan Ketua Shin Bet.
Penunjuk perasaan turut mendesak penghentian serangan udara Israel ke atas Gaza kerana ia membahayakan nyawa tebusan Israel yang ditawan di wilayah tersebut.
“Separuh rakyat Israel menyokong protes ini, manakala separuh lagi menolaknya. Situasi ini sangat berbahaya,” ujar Raz.
Beliau turut meramalkan krisis perlembagaan yang lebih serius jika kerajaan enggan mematuhi keputusan Mahkamah Agung mengenai pemecatan ketua agensi keselamatan tersebut.
“Sekiranya mahkamah menolak pemecatan itu tetapi kerajaan tetap meneruskannya, kita akan berdepan krisis perlembagaan yang sangat mendalam. Jika kerajaan tidak mengikut keputusan mahkamah, ia lebih buruk daripada sekadar krisis, ia adalah kehancuran keseluruhan sistem pemerintahan,” katanya. -AGENSI