HAVANA: Rangkaian elektrik nasional Cuba mengalami kerosakan besar semalam, menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang meluas di ibu negara Havana dan di seluruh negara.
Menurut Kementerian Tenaga dan Lombong, sebuah pencawang elektrik di Havana mengalami kegagalan sekitar jam 8.15 malam waktu tempatan mengakibatkan bekalan terputus di sebahagian besar wilayah barat Cuba, termasuk ibu kota.
Seluruh kawasan tepi laut Havana bergelap dengan hanya beberapa hotel pelancongan beroperasi menggunakan generator berkuasa bahan api.
Laporan di media sosial dari wilayah luar bandar, baik di timur mahupun barat Havana, menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada 10 juta penduduk Cuba turut terjejas akibat gangguan ini.
Kegagalan bekalan elektrik ini berlaku selepas beberapa siri gangguan besar yang melanda negara itu sejak
akhir tahun lalu, sekali gus menambah tekanan terhadap sistem tenaga yang sudah lama usang dan rapuh.
Kekurangan bahan api, bencana alam dan krisis ekonomi telah menyebabkan sistem jana kuasa Cuba berada dalam keadaan hampir lumpuh.
Dalam beberapa bulan terakhir, rakyat negara itu terpaksa berdepan dengan gangguan elektrik yang berpanjangan secara bergilir-gilir.
Selain masalah tenaga, Cuba turut mengalami kekurangan makanan, ubat-ubatan dan air bersih, menjadikan kehidupan semakin sukar bagi penduduknya.
Keadaan ini telah mendorong ramai rakyat Cuba untuk meninggalkan negara itu dalam jumlah yang mencatat rekod tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.