JAKARTA: Sekurang-kurangnya 50 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di Aceh Tenggara, wilayah Aceh menjelang waktu berbuka puasa semalam, lapor portal berita Kompas.
Ketua Pejabat Wilayah Direktorat Pemulihan Wilayah Aceh, Yan Rusmanto berkata, mereka melarikan diri dari Penjara Kelas II B Kutacane.
“Daripada 50 orang yang lolos, 12 sudah ditangkap dan 38 orang lagi masih diburu,” katanya.
Yan berkata, jumlah keseluruhan tahanan di Penjara Kutacane adalah seramai 368 orang.
Sebelum itu, laporan menyebut berpuluh-puluh tahanan melarikan diri menjelang waktu berbuka puasa semalam.
Berdasarkan video tular dalam media sosial, mereka dilihat berlari beramai-ramai dan memanjat pintu pagar penjara yang terbuka.
Mereka berlari di tengah-tengah kesesakan lalu lintas, malah ada yang menghalang laluan pengguna jalan raya.