WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mungkin melakukan sekatan perjalanan besar-besaran terhadap penduduk dari puluhan negara sebagai larangan baharu.
Berdasarkan memo yang dikongsi dengan Reuters, ia menyenaraikan sejumlah 41 negara yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.
Kumpulan pertama melibatkan 10 negara, termasuk Afghanistan, Iran, Syria, Cuba dan Korea Utara yang akan dikenakan penggantungan visa sepenuhnya.
Dalam kumpulan kedua, lima negara iaitu Eritrea, Haiti, Laos, Myanmar dan Sudan Selatan pula bakal menghadapi penggantungan separa yang menjejaskan visa pelancong, visa pelajar serta visa imigresen dengan beberapa pengecualian.
Tidak ketinggalan kumpulan ketiga terdiri daripada 26 negara, termasuk Belarus, Pakistan dan Turkmenistan yang mungkin dikenakan penggantungan separa pengeluaran visa AS sekiranya kerajaan mereka ‘gagal mengambil langkah menangani kelemahan dalam tempoh 60 hari’ menurut memo itu.
Seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan namanya didedahkan memberi amaran senarai itu masih boleh berubah dan belum mendapat kelulusan akhir daripada pentadbiran, termasuk Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Akhbar The New York Times merupakan media pertama yang melaporkan senarai negara terbabit.
Langkah ini mengingatkan kembali kepada larangan perjalanan Trump semasa penggal pertamanya terhadap pelancong dari tujuh negara majoriti Islam, satu dasar yang melalui beberapa pindaan sebelum akhirnya disahkan oleh Mahkamah Agung pada 2018.
Trump mengeluarkan perintah eksekutif pada 20 Januari lalu yang mengarahkan kawalan keselamatan terhadap warga asing yang ingin memasuki AS diperketatkan bagi mengesan ancaman keselamatan negara.
Perintah itu turut mengarahkan beberapa anggota Kabinetnya untuk menyerahkan senarai negara yang akan dikenakan sekatan perjalanan sepenuhnya atau sebahagian menjelang 21 Mac kerana ‘maklumat pemantauan dan saringan mereka terlalu lemah’.
Beliau telah memberi bayangan mengenai pelan ini dalam satu ucapan pada Oktober 2023, dengan berjanji akan menyekat kemasukan individu dari Gaza, Libya, Somalia, Syria, Yamen dan ‘mana-mana tempat lain yang mengancam keselamatan AS’. – REUTERS