PHUKET: Sebuah bas pelancong yang membawa 38 pelancong Russia terbalik di sebuah jalan curam di Kamala, Phuket, dipercayai akibat kegagalan brek, mengakibatkan 41 orang cedera, Sabtu lalu.
Pasukan polis dan penyelamat, termasuk dari Yayasan Kusoldharm Phuket, tiba di selekoh Khao Khuan Yak di Jalan Kamala-Patong pada pukul 5.10 petang.
Bas milik Anex Tour, yang berdaftar di Phuket, ditemui terbalik di tengah jalan hingga menyebabkan gangguan trafik di kawasan tersebut sebelum pasukan kecemasan tiba bagi membawa mangsa yang cedera, termasuk pelancong Russia, pemandu bas, dan pemandu pelancong, ke Hospital Patong.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.
Ahli Parlimen tempatan, Chalermpong Saengdee, mengesahkan sokongan tambahan telah disediakan oleh Pertubuhan Pentadbiran Tambon Kamala untuk membantu membawa mangsa yang cedera ke kemudahan perubatan.
Pemandu bas tersebut turut diarahkan menjalani ujian alkohol di Hospital Patong sebagai sebahagian daripada siasatan polis yang sedang dijalankan.
Dalam kejadian berasingan, 36 penumpang cedera selepas bas pelancong yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik voltan tinggi di Phetchaburi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 3.54 pagi, 14 Mac lalu berpunca daripada pemandu yang tertidur semasa memandu menyebabkan dia hilang kawalan lalu mencetuskan kemalangan itu. Daripada 36 penumpang, 15 adalah pelancong Thailand, 12 warga Myanmar, dan sembilan lagi rakyat Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan berita, pegawai atasan Phuket menggesa pemilik perniagaan untuk mengambil serius tentang keselamatan sosial atau berisiko menyebabkan pekerja melanggar undang-undang.
Pejabat Keselamatan Sosial Phuket sedang memupuk kesedaran lebih tinggi terhadap perkhidmatan dan faedah pekerjaan, mengingatkan majikan bahawa pendaftaran dan sumbangan yang betul bukan sekadar birokrasi sebaliknya adalah talian hayat kewangan yang penting untuk pekerja.-AGENSI