ABU DHABI: Usaha mediasi oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali lagi membuahkan hasil apabila seramai 300 tawanan perang dibebaskan dalam pertukaran antara Ukraine dan Russia minggu ini.
Semalam, seramai 150 tahanan perang Ukraine dihantar pulang sebagai pertukaran dengan 150 tawanan Russia di tengah-tengah konflik yang masih berlarutan sejak tercetus pada Februari 2022.
Menurut laporan Agensi Berita Emiriah (WAM), usaha mediasi oleh UAE setakat ini telah menyaksikan pembebasan seramai 2,883 tawanan perang dari kedua-dua negara berkenaan.
Pertukaran ini merupakan kejayaan mediasi ke-12 yang dikendalikan oleh Abu Dhabi sejak tahun lepas.
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri UAE dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan kepada Russia dan Ukraine atas kerjasama mereka dalam usaha mediasi tersebut serta peranan mereka dalam pertukaran tersebut.
Menurut kenyataan itu, Abu Dhabi komited untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik di Ukraine dan menghargai kepercayaan kedua-dua negara terhadap UAE sebagai pihak perantara yang dipercayai.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut memuat naik gambar para tawanan yang dibebaskan itu di akaun rasmi beliau di platform X, sambil menyatakan 150 askar tersebut ditawan oleh tentera Russia di Mariupol dan wilayah Zaporizhzhia.
Tambah beliau, sebahagian daripada mereka adalah anggota pasukan udara dan darat, serta pengawal kebangsaan yang telah ditahan lebih daripada dua tahun.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membawa pulang rakyat kami. Saya juga menghargai rakan-rakan kami, khususnya UAE dan semua pihak yang berdiri teguh bersama kami dalam usaha ini.
“Kami akan terus berusaha membawa pulang semua rakyat kami,” kata Zelensky dalam kenyataan beliau. -AGENSI