FARIDABAD, India: Seorang remaja bertindak membakar bapa kandungnya gara-gara berang dimarahi kerana disyaki mencuri wang.
Dalam kejadian yang berlaku di rumah sewa mereka di Ajay Nagar, Faridabad, India, remaja berusia 14 tahun itu bertindak membakar bapanya sekitar pukul 2 pagi Selasa.
Perbuatan itu disedari oleh pemilik rumah sewa berkenaan, Riyazuddin selepas terdengar jeritan mangsa, Mohammad Aleem, 55.
Menurut laporan polis, Aleem difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat melecur teruk.
Sementara suspek didakwa melarikan diri dan pegawai kanan polis berkata, sebelum kejadian ngeri itu berlaku, mangsa telah berjumpa dengan anaknya untuk menegur kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun remaja berkenaan yang berang bertindak menyimbah bahan mudah terbakar ke atas bapanya dan kemudian menyalakan api. – NDTV