BATAM: Majlis Perundangan Kepulauan Riau (DPRD) menggesa penutupan ladang buaya di Pulau Bulan, Batam, susulan 105 ekor reptilia terlepas bulan lalu.
Insiden itu sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan serangan buaya terhadap penduduk tempatan dan pelancong.
Ketua DPRD, Iman Sutiawan berkata, selain membahayakan orang awam, ladang buaya yang dikendalikan PT Perkasa Jagat Karunia itu juga tidak pernah menyumbang cukai kepada wilayah sepanjang 36 tahun beroperasi.
“Kami mahu ladang itu ditutup,” katanya kepada The Jakarta Post pada Isnin.
Menurut pihak pengurusan, hanya seekor daripada 105 buaya yang terlepas masih belum ditemui, kata Iman.
Sebanyak 38 ekor ditangkap oleh pihak berkuasa Batam di beberapa pulau kecil berhampiran, tiga ditemukan mati dan 66 lagi berjaya ditangkap semula oleh pihak ladang kerana reptilia tersebut dilaporkan masih berada di Pulau Bulan.
“Bagaimanapun, ini hanyalah dakwaan pihak pengurusan. Terus terang, kami tidak percaya.
“Kami mahu syarikat itu terus mencari baki buaya dan mengesahkan jumlah keseluruhan reptilia yang terlepas dan ditangkap,” katanya.
Buaya di ladang itu dilaporkan terlepas pada 13 Januari lalu, selepas hujan lebat selama berhari-hari menyebabkan bahagian pagar di sekeliling kolam pembiakan runtuh.
Menurut pihak pengurusan, ladang tersebut menempatkan kira-kira 800 ekor buaya air masin.
Buaya tersebut didakwa digunakan untuk menghasilkan pelbagai barangan kulit, seperti beg, dompet dan tali pinggang.
Namun, PT Perkasa Jagat Karunia dilaporkan sudah menghentikan pengeluaran produk kulit tujuh tahun lalu akibat masalah kewangan. – AGENSI