TEBING BARAT: Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran keadaan di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat yang diduduki, semakin parah akibat pengeboman tentera Israel.
Menurut agensi itu, pencerobohan tentera Israel yang berterusan selama lebih dua minggu di Tebing Barat melemahkan gencatan senjata rapuh yang dicapai di Gaza dan berisiko mencetus keganasan baharu.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, operasi itu telah mengusir hampir 20,000 orang yang tinggal di kem pelarian Jenin, malah tentera Israel turut membunuh lebih 70 rakyat Palestin dan meratakan ratusan rumah serta blok kediaman di sekitar kawasan itu.
“Kem Jenin sedang menuju ke arah bencana malapetaka. Sebahagian besar kem itu musnah sepenuhnya dalam beberapa siri letupan oleh tentera Israel. Dianggarkan lebih 100 rumah musnah atau rosak teruk.
“Penduduk kem ini turut diusir dan kini berdepan situasi bahaya yang sangat sukar,” kata jurucakap UNRWA, Juliette Touma kepada wartawan di Geneva.
Menurut Touma, kira-kira 13 sekolah UNRWA di kem itu dan kawasan sekitarnya masih ditutup, menjejaskan lebih 5,000 kanak-kanak.
Jelasnya, agensi itu juga tidak menerima amaran awal mengenai perobohan bangunan kerana komunikasi antara kakitangannya dan pihak berkuasa Israel terputus berikutan larangan rejim itu terhadap operasi UNRWA.
“Kelmarin, tentera Israel meletupkan 21 rumah di tiga kawasan kejiranan di kem pelarian Jenin sebelum meneruskan pencerobohan ke atas Tulkarm dan Tubas di utara Tebing Barat. Beberapa penduduk turut ditahan tentera rejim.
“Agensi kami juga tidak menerima amaran awal mengenai letupan yang dilakukan tanpa henti kerana hubungan antara kakitangan dan pihak berkuasa Israel tidak lagi dibenarkan, sekali gus membahayakan nyawa orang awam,” jelas UNRWA dalam satu kenyataan.
Ahad lalu, Pengarah Perhubungan Awam dan Media Perbandaran Jenin, Bashir Matahen memberitahu agensi berita Anadolu, pengeboman di kem itu akan berterusan mengikut apa yang dimaklumkan oleh tentera Israel kepada sumber rasmi Palestin.
Gabenor Jenin, Kamal Abu Al-Rab berkata, pengeboman Israel di kem itu adalah yang terburuk sejak pertempuran Intifada Al-Aqsa pada 2002.
“Penduduk Palestin di kawasan ini sedang melalui tragedi yang lebih besar daripada insiden pertempuran pada 2002,” katanya.
Tambah beliau, selama hampir dua minggu pengeboman, 11 mayat penduduk yang maut masih disimpan di bilik mayat Jenin kerana keluarga mereka bimbang dengan ancaman penembak tepat, dron dan artileri Israel ketika urusan pengebumian.
“Keluarga takut untuk mengebumikan orang tersayang di tanah perkuburan kerana penembak tepat Israel ditempatkan di bangunan tinggi. Beberapa mayat berada di bilik mayat selama lebih 13 hari.
“Kami memerlukan pelepasan Israel hanya untuk menjalankan pengebumian, malah ia telah ditangguhkan beberapa kali.
“Tentera pendudukan tidak menunjukkan rasa hormat kepada yang hidup atau yang mati. Bagi mereka, kami semua pengganas,” kata seorang penduduk, Bassam Turkman berusia 55 tahun yang kematian abangnya dua minggu lalu.