Tahanan Saydnaya kongsi pengalaman pahit, samakan penjara dengan 'Dante's Inferno'

Tahanan Saydnaya kongsi pengalaman pahit, samakan penjara dengan ‘Dante’s Inferno’

SEORANG lelaki berjalan melepasi alat besi yang digunakan untuk menyeksa tahanan di penjara Saydnaya di Damsyik, Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Aktivis hak asasi manusia Syria yang terselamat dari penjara Saydnaya menggesa keadilan ditegakkan untuk beribu-ribu mangsa yang mengalami penyeksaan dan pembunuhan sistematik ketika zaman pemerintahan bekas Presiden, Bashar al-Assad.

“Saya mahukan keadilan, bukan membalas dendam,” kata Ahmed Hilmi  yang bertahan selama tiga tahun di pusat tahanan itu dan menjadi saksi terhadap kekejaman yang dikenakan ke atas tahanan semasa perang saudara Syria.

Kejatuhan rejim pada hujung minggu lalu dan pengambilalihan oleh pembangkang di Syria membawa kepada pembebasan tahanan anti-rejim yang ditahan di Saydnaya dan pusat tahanan lain.

KEMPEN UNTUK MANGSA TERSELAMAT

Ahmed yang merupakan pelajar kejuruteraan awam di Damsyik ketika protes meletus pada 2011, menjadi sasaran selepas menyertai demonstrasi.

“Suatu hari, dalam perjalanan ke kelas, saya diculik oleh tentera rejim. Saya melihat ke langit untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kerana saya fikir ia mungkin kali terakhir saya melihatnya,” katanya.

Lima bulan kemudian, dia dipindahkan ke penjara negeri, di mana dia dibenarkan melawat ibunya.

“Selama lima bulan, tiada siapa tahu saya masih hidup. Apabila ibu saya melihat saya, dia teragak-agak kerana tidak dapat mengenali saya. Berat saya turun 35 kilogram (kg), rambut gugur dan penampilan saya berubah sepenuhnya,” kongsinya.

Ibu Ahmed hanya berjaya mengenal pasti dirinya selepas dia menggunakan kata kod rahsia yang sering mereka kongsikan. 

Kisah itu turut menggariskan korban psikologi yang besar terhadap keluarga tahanan.

Selepas dibebaskan, Ahmed mengasaskan ‘Ta’afi’, sebuah organisasi yang menyokong mangsa penyeksaan rejim Bashar.

Inisiatif itu diilhamkan oleh rakan baiknya, Islam, yang hilang pada 2011 selepas menyertai protes.

“Islam hanya menghafal nombor telefon saya. Saya terus mengecas telefon dan setiap hari menunggu panggilan darinya. Tiga tahun kemudian, saya mendapat tahu dia telah dibunuh di bawah penyeksaan rejim Baath,” katanya.

Usaha yang pada mulanya bertujuan membongkar nasib Islam, kini berkembang menjadi platform untuk membantu ratusan mangsa yang terselamat dalam perjuangan mereka menuntut keadilan.

KENGERIAN SEDNAYA

Dalam pada itu, Ahmed menyifatkan penjara Saydnaya yang terkenal dengan keadaan kejamnya, setanding dengan lingkaran neraka dalam puisi epik abad ke-14 bertajuk Inferno karya Dante Alighieri.

“Tiada tingkap, tiada udara segar atau lampu pendarfluor yang menyala, menjadikannya mustahil untuk membezakan malam dari siang.

“Banduan disumbat ke dalam sel yang sesak, tidak mempunyai tandas atau air dan diberi makanan yang minimum. Ramai yang mati akibat kelaparan, penyakit yang tidak dirawat atau kebersihan yang tidak baik,” tambahnya.

Ahmed turut menekankan kepentingan ‘foto Caesar’, koleksi gambar diambil oleh jurugambar tentera bernama Caesar yang mendokumentasikan penyeksaan dan  kematian tahanan.

Foto-foto itu berfungsi sebagai bukti penting jenayah perang yang dilakukan rejim Bashar.

“Foto-foto ini adalah satu-satunya bukti visual tentang apa yang berlaku di penjara.

“Imej yang diambil antara 2011 dan 2013 itu mendedahkan parut penyeksaan dan kesan keadaan tidak berperikemanusiaan yang dihadapi ribuan tahanan di Syria.

“Ada yang tidak mati akibat dipukul tetapi maut kerana ketiadaan cahaya matahari, udara atau penjagaan asas sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap masyarakat antarabangsa, mengkritik kegagalannya mengambil tindakan tegas terhadap Bashar.

“Di Syria, badan kehakiman, polis, dan pelaku semuanya sama. Tidak ada sistem keadilan.

“Sistem antarabangsa lemah dan korup. Justeru, dengan tumbangnya rejim Bashar, keadilan mesti ditegakkan untuk jenayah kemanusiaan ini,” jelasnya mengakhiri temu bual bersama Anadolu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya