BOYOLALI : Polis masih giat menjalankan siasatan berhubung kes seorang pelajar berusia 15 tahun yang menjadi mangsa buli apabila tubuhnya dibakar di sebuah pondok pesantren di Simo, Boyolali, Jawa Tengah.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Boyolali, Inspektor Joko Purwadi berkata, kejadian bermula apabila pelaku bertindak mencurah bahan bakar ke tubuh mangsa sebelum menghidupkan pemetik api.
“Bahan bakar itu disimbah ke tubuh mangsa, dan pelaku cuba menakut-nakutkannya dengan pemetik api yang dinyalakan, namun api terus menyambar tubuh mangsa,” katanya kepada pihak media.
Mangsa mengalami kecederaan serius selepas insiden tercetus, Isnin lalu.
Tambah beliau, suspek merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun, yang merupakan tetamu di pondok tersebut.
Menurut Joko, kejadian tragis ini dipercayai berpunca daripada perselisihan antara pelajar di pondok tersebut.
Ini kerana, adik suspek, yang juga pelajar di sekolah itu mendakwa telefon bimbitnya dicuri oleh mangsa sebelum mengadu kepada suspek.
Berikutan aduan itu, suspek tiba di pondok berkenaan sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) untuk mencari mangsa.
“Suspek meminta adiknya membawa mangsa kepadanya dengan bantuan seorang pengasuh pondok. Suspek kemudian menyoal mangsa di sebuah bilik yang dikunci,” ujar Joko.
Menurutnya, sebelum datang ke pondok, suspek telah menyediakan bahan bakar berupa petrol yang disimpan dalam botol air mineral dengan tujuan untuk menakutkan mangsa.
Bagaimanapun, insiden tersebut menjadi di luar kawalan apabila api mula menyambar badan mangsa.
Pihak polis yang tiba di tempat kejadian telah menjalankan siasatan di lokasi serta merampas beberapa barang bukti, termasuk karpet terbakar, pemetik api, pakaian mangsa dan botol bekas bahan bakar.
Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Boyolali dan disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Fasal 187 ke-1 dan 2 serta Fasal 353 ke-2 Kanun Jenayah Indonesia.
Polis juga meminta agar orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes ini sehingga siasatan selesai dijalankan. -AGENSI