NEW DELHI : Penduduk di utara India, termasuk ibu negara Delhi, terus berdepan kualiti udara yang sangat buruk sejak semalam apabila lapisan kabus tebal menyelubungi kebanyakan kawasan di rantau itu.
Indeks Kualiti Udara (AQI) di Delhi mencatatkan bacaan setinggi 491 pada Isnin, menyebabkan kerajaan memperkenalkan sekatan pergerakan kenderaan, menghentikan aktiviti pembinaan, dan melaksanakan pembelajaran secara dalam talian di sekolah.
Semalam, bacaan AQI selama 24 jam di Delhi dilaporkan berada pada paras 488 daripada skala maksimum 500, menurut Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat (CPCB) India.
Sekurang-kurangnya lima stesen pemantauan di Delhi mencatatkan AQI maksimum iaitu 500.
CPCB mengklasifikasikan bacaan AQI 0-50 sebagai ‘baik’, manakala bacaan melebihi 401 dianggap ‘teruk’, yang memberikan risiko besar kepada individu sihat dan kesan serius kepada mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.
Kumpulan Swiss IQAir mengiktiraf Delhi sebagai bandar paling tercemar di dunia dengan bacaan AQI ‘bahaya’ sebanyak 489, walaupun ia lebih baik berbanding bacaan 1,081 pada Isnin.
Pakar menjelaskan perbezaan skala yang digunakan oleh negara-negara berbeza untuk menukar kepekatan pencemar kepada AQI boleh menyebabkan variasi skor yang signifikan.
Jabatan Meteorologi India melaporkan perpindahan lapisan kabus ke negeri Uttar Pradesh telah sedikit meningkatkan jarak penglihatan di Delhi.
Bagaimanapun, jarak penglihatan di Agra, ibu negeri Uttar Pradesh yang terletak di tenggara Delhi, menurun kepada sifar, manakala monumen terkenal India, Taj Mahal, turut terhalang daripada pandangan akibat kabus toksik selama hampir seminggu.
Langkah ketat untuk mengurangkan impak pencemaran tinggi ini turut memberi kesan kepada lebih 3.4 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana di negeri berdekatan seperti Punjab, Haryana dan Delhi, lapor media tempatan. -AGENSI