Seorang maut, 49 jatuh sakit lepas makan burger McDonald’s

Seorang maut, 49 jatuh sakit lepas makan burger McDonald’s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLORADO: Seorang maut dan puluhan yang lain jatuh sakit akibat jangkitan bakteria E. Coli yang dikaitkan dengan hidangan burger Quarter Pounder di restoran McDonald’s di 10 negeri Amerika Syarikat.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memaklumkan wabak E. Coli yang dikaitkan dengan salah satu menu paling popular McDonald’s, menyebabkan 49 individu jatuh sakit dengan 10 daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital.

Wabak E. coli adalah jenis bakteria yang boleh menyebabkan penyakit serius dan pernah menjadi punca wabak pada 1993 sehingga meragut nyawa empat kanak-kanak, ketika mereka sedang menikmati burger separuh masak di restoran Jack in the Box.

Menurut CDC, semua individu yang ditemu bual semasa siasatan menyatakan mereka telah makan di McDonald’s sebelum mengalami gejala penyakit, dan kebanyakan mereka mengambil hidangan burger Quarter Pounder.

Bahan tertentu yang dikaitkan dengan jangkitan ini belum dikenal pasti, namun penyiasat kini memberi tumpuan kepada bawang yang dihiris segar dan daging lembu segar yang digunakan.

“Penemuan awal dari siasatan menunjukkan sebahagian daripada kes-kes ini mungkin berkaitan dengan bawang hiris yang digunakan dalam Quarter Pounder dan diperoleh daripada satu pembekal yang membekalkan tiga pusat pengedaran,” kata Ketua Pegawai Rantaian Bekalan McDonald’s Amerika Utara, Cesar Piña, dalam kenyataan.

McDonald’s bertindak proaktif dengan menarik semula bawang hiris dan daging lembu yang digunakan untuk hidangan Quarter Pounder dari restoran di negeri-negeri yang terjejas sementara siasatan diteruskan, menurut kenyataan yang dimaklumkan kepada CDC.

Sementara itu, McDonald’s telah menghentikan penjualan Quarter Pounder buat sementara waktu di Kawasan restoran yang terjejas, termasuk Colorado, Kansas, Utah dan Wyoming, sambil bekerjasama dengan pembekal untuk menggantikan stok dalam tempoh seminggu.

Kebanyakan mereka yang dijangkiti akan mula merasa sakit dalam tempoh tiga hingga empat hari selepas makan atau minum sesuatu yang tercemar dengan bakteria tersebut, menurut Jabatan Kesihatan Awam Colorado.

Selain Colorado, CDC juga melaporkan beberapa kluster kecil melibatkan segelintir individu jatuh sakit selepas makan Quarter Pounder di Nebraska, Utah dan Wyoming. Negeri Kansas, Missouri, Oregon, Iowa, Wisconsin dan Montana masing-masing mencatatkan satu kes. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN