Lapan tentera Israel terbunuh pertempuran sengit di Lubnan

Lapan tentera Israel terbunuh pertempuran sengit dengan Hezbollah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel berkata, lapan tenteranya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan ketika rejim itu meluaskan kempennya menentang kumpulan bersenjata Hezbollah di negara itu.

Hezbollah berkata, pejuangnya berdepan pertempuran darat pertama dengan tentera Israel sejak rejim itu menembusi sempadan negara.

Hezbollah mendakwa memusnahkan tiga kereta kebal Merkava Israel dengan roket berhampiran bandar sempadan Maroun El Ras.

Tentera Israel berkata, unit infantri dan perisai tetap menyertai operasi daratnya di Lubnan, sehari selepas Iran melepaskan lebih 180 peluru berpandu ke Israel, serangan yang menimbulkan kebimbangan Asia Barat bakal terperangkat dalam konflik yang lebih luas.

Hezbollah berkata, pejuangnya berjaya menangkis serangan tentera Israel berhampiran beberapa bandar sempadan dan juga menembak roket ke arah pos tentera di dalam Israel.

Ketua media kumpulan separa tentera, Mohammad Afif berkata, pertempuran itu hanya ‘pusingan pertama’ dan Hezbollah mempunyai cukup pejuang, senjata dan peluru untuk menentang Israel.

Penambahan tentera infantri dan berperisai Israel dari Divisyen ke-36, termasuk Briged Golani, Briged Berperisai ke-188 dan Briged Infantri ke-6, mencadangkan bahawa operasi itu mungkin melepasi serbuan komando terhad.

Tentera Israel berkata, pencerobohannya sebahagian besar bertujuan untuk memusnahkan terowong dan infrastruktur lain di sempadan dan tidak ada rancangan untuk operasi lebih luas yang menyasarkan ibu kota Lubnan Beirut di utara atau bandar utama di selatan.

Namun rejim itu mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk kira-kira 24 bandar di sepanjang sempadan selatan, mengarahkan penduduk menuju ke utara Sungai Awali, yang mengalir dari timur ke barat kira-kira 60 kilometer ke utara sempadan Israel.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN