Gagal bertindak henti kekejaman Israel bukti bersekongkol

Gagal bertindak henti kekejaman Israel bukti bersekongkol

Malaysia mengulangi desakan agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza diberhentikan segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengulangi desakan agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza diberhentikan segera.

Tegas Kementerian Luar, kegagalan untuk bertindak menghentikan kekejaman ini merupakan persekongkolan dan mengancam sebarang harapan bagi mencapai keamanan.

Dalam hal ini, Malaysia menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan oleh Piagam dengan memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya.

“(Ini termasuk) menegakkan keutuhan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel ke atas Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah dan pengepungan haram di kem Pelarian Jabalia.

Katanya, imej mengerikan mangsa dibakar dalam keadaan masih hidup hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Gaza.

Imej sedemikian menunjukkan kempen keganasan rejim Zionis Israel, yang jelas bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza.

“Malapetaka kemanusiaan di Gaza telah mencapai tahap yang tidak masuk akal. Namun rejim Zionis Israel terus menerus membuat serangan tanpa henti, melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Pada masa yang sama menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian aman,” katanya.

Malaysia akan terus menyampaikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Sokongan penuh Malaysia terhadap Palestin juga melibatkan usaha mereka untuk menjadi anggota penuh PBB.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah, dan keadilan, dan akan terus memperjuangkan hak mereka di pentas global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya