BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa berjaya menyelamatkan seorang warga Israel yang ditahan sebagai tebusan dari sebuah terowong di selatan Gaza dalam operasi penyelamatan.
Tahanan tersebut, Qaid Farhan Alkadi, 52, merupakan anggota komuniti Arab Badwi di selatan Israel yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di penempatan Israel berhampiran sempadan Gaza, telah dikejarkan ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari memaklumkan Qaid Alkadi diselamatkan dari terowong bawah tanah, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai operasi tersebut atas faktor keselamatan tebusan lain yang masih berada di Gaza dan keselamatan pasukan tentera Israel.
Seorang pegawai tentera memberitahu Reuters bahawa Farhan ditemukan bersendirian oleh tentera Israel ketika mereka sedang beroperasi di kawasan ditemukan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji pasukan tentera atas kejayaan operasi penyelamatan tersebut dan menegaskan bahawa Israel akan terus berusaha tanpa henti untuk membawa pulang semua tebusan.
“Kami melakukan ini melalui dua cara utama iaitu rundingan dan operasi penyelamatan. Kedua-dua cara ini memerlukan kehadiran tentera di lapangan dan tekanan berterusan ke atas Hamas,” kata Netanyahu.
Mangsa dikatakan telah ditawan di Kibbutz Magen, salah satu daripada beberapa komuniti Israel di sekitar Jalur Gaza yang diserang oleh pejuang Hamas dalam satu serangan rentas sempadan pada 7 Oktober di mana lebih dari 250 rakyat Israel dan warga asing telah dijadikan tebusan dalam serangan itu, di mana kira-kira 1,200 orang terbunuh.
Operasi ini dilakukan selepas kejayaan penyelamatan pada bulan Jun lalu di mana terdapat sedikit kemajuan dalam rundingan untuk menghentikan perang di Gaza dan membawa pulang tebusan-tebusan tersebut sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.-AGENSI