COPENHAGEN: Koleksi syiling emas milik taikun mentega Denmark, Lars Emil Bruun yang bakal dilelong lebih 100 tahun selepas kematiannya, dijangka boleh memecah rekod jualan sebanyak AS$72 juta (RM313 juta).
Naib Presiden Numismatik di Firma lelongan Stack’s Bowers, Vicken Yegparian menyatakan, ia adalah sebahagian daripada 20,000 keping syiling koleksi jutawan berkenaan yang disimpan rapi selepas kematian Bruun, 71, pada tahun 1923.
Stack’s Bowers yang beribu pejabat di New York dan juga penganjur lelongan tersebut bulan depan di laman webnya menyifatkan, koleksi syiling berkenaan yang dilindungi insurans bernilai AS$72.5 juta (RM315 juta) adalah syiling paling bernilai di dunia buat masa ini.
“Orang ramai sedar tentang kewujudan koleksi ini, namun mereka tidak pernah melihatnya,” katanya seperti laporan CNN.
Yegparian berkata, tidak seperti duit syiling lama lain yang mengalami kerosakan, koleksi Bruun berada dalam keadaan yang baik kerana disimpan rapi dalam empat kabinet besar yang ditempah khas.
“Ia disimpan dengan selamat di sebuah lokasi rahsia dan turut diinsuranskan,” katanya.
Bruun sebelum ini mewasiatkan wang-wang syiling itu kepada Denmark sebagai rizab negara yang boleh dijual sekiranya negara ini terjerumus dalam perang.
Langkah itu dibuat beliau selepas menyaksikan kemusnahan akibat Perang Dunia Pertama yang mengakibatkan krisis ekonomi.
Bruun mula mengumpul matawang dan duit syiling semasa kanak-kanak lagi pada tahun 1859.
Minatnya pada wang syiling membuatkan beliau mengasaskan Persatuan Numismatik Denmark pada 1885. – AGENSI