LONDON: Sekumpulan ahli astronomi telah menemukan objek paling terang pernah diperhatikan di alam semesta ini, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan bagi mengumumkan penemuan luar biasa tersebut.
Ahli astronomi mengenal pasti objek tersebut sebagai sebuah kuasar yang digambarkan sebagai terang luar biasa serta paling bercahaya pernah dikesan melalui Teleskop Sangat Besar (VLT) milik European Southern Observatory (ESO).
Kuasar merupakan teras galaksi yang sangat terang, digerakkan oleh lubang hitam sangat besar di tengah-tengahnya sehingga apabila gas dan debu jatuh ke dalam lubang hitam, ia melepaskan radiasi elektromagnetik, menghasilkan cahaya yang sangat terang, seperti dilaporkan oleh majalah Newsweek.
Kuasar yang baru ditemukan ini bukan sahaja mencatat rekod dari segi kecerahan, tetapi juga sedang berkembang pesat, satu ciri yang biasa ditemui dalam kuasar paling terang di galaksi.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Nature Astronomy berkata, kuasar ini yang dinamakan J0529-4351 sedang berkembang pada kadar bersamaan satu matahari sehari dan 500 trilion kali lebih terang daripada matahari.
Penyelidik utama menggambarkan kuasar ini sebagai kemungkinan tempat paling dahsyat di alam semesta dengan awan yang bergerak pantas, suhu ekstrem, dan kilat kosmik yang besar.
“Kami telah menemui lubang hitam yang paling cepat berkembang diketahui setakat ini. Ia mempunyai jisim bersamaan dengan 17 bilion matahari dan menyedut lebih daripada satu matahari sehari. Ini menjadikannya objek paling bercahaya di alam semesta yang diketahui,” kata seorang ahli astronomi di Universiti Nasional Australia (ANU) dan penulis utama kajian tersebut, Christian Wolf.
Ahli astronomi melaporkan bahawa kuasar ini begitu jauh dari Bumi sehingga cahayanya mengambil masa lebih 12 bilion tahun untuk sampai kepada kita namun bagi pemerhati di Bumi, kuasar kelihatan serupa dengan bintang.
Walaupun kuasar ini telah dilihat sejak tahun 1980, ahli astronomi baru-baru ini mengenal pasti objek ini sebagai kuasar walaupun terdapat perdebatan sama ada objek ini sebenarnya kuasar ataupun tidak kerana ianya terlalu terang untuk menjadi sesuai dengan kebiasaannya.-AGENSI