SYDNEY: Lebih 300 orang dikhuatiri maut dan 1,100 rumah tertimbus akibat tanah runtuh berskala besar melanda kawasan tanah tinggi yang terpencil di Papua New Guinea.
Bencana alam itu melanda kampung Kaokalam di wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer (km) barat laut ibu negara Port Moresby, sekitar pukul 3 pagi pada Jumaat.
Tanah runtuh itu menyekat laluan ke lebuh raya dan hanya helikopter sahaja adalah satu-satunya cara untuk akses ke kawasan itu.
Australian Broadcasting Corp melaporkan empat mayat sudah dibawa dari kawasan itu selepas pasukan kecemasan tiba di kawasan yang mempunyai jarang penduduk.
Rakaman gambar dalam media sosial yang diambil oleh penduduk kampung di Ninga Role menunjukkan orang ramai memanjat batu, mencabut pokok dan timbunan tanah untuk mencari mangsa yang terperangkap.
Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape berkata, pegawai bencana, Angkatan Pertahanan, Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya mempergiatkan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus.
Agensi kemanusiaan, Care Australia memaklumkan pasukan tindak balas pantas yang terdiri daripada petugas perubatan dan anggota tentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Ketua Migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Papua New Guinea, Aktoprak berkata, kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh itu meliputi saiz tiga hingga empat buah padang bola sepak.
Katanya, kampung Yambali menempatkan seramai 3,895 penduduk dan beberapa rumah di kawasan itu terselamat dari tanah runtuh.
Seorang penduduk dari kampung berdekatan, Dominic Lau berkata, ketika dia sampai ke lokasi kejadian tiada lagi rumah yang kelihatan kerana sudah tertimbus oleh tanah.
“Sudah tiada apa-apa lagi yang tinggal, hanya ada batu dan tanah. Penduduk dan rumah juga tidak kelihatan lagi,” katanya. -BBC