Taiwan teruskan misi mencari mangsa

Taiwan teruskan misi mencari mangsa

SEORANG wanita dan kanak-kanak keluar dari sebuah van di pos sementara selepas diselamatkan dari Taman Negara Taroko di Hualien.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUALIEN: Usaha menyelamat masih dijalankan untuk membantu kira-kira 340 orang yang terkandas di pergunungan di luar bandar daerah Hualien, tiga hari selepas gempa bumi paling kuat dalam tempoh 25 tahun menggegar Taiwan.

Pihak berkuasa berkata, semua mereka yang terkandas masih selamat dengan akses berterusan kepada makanan dan air  walaupun terputus hubungan selepas batu besar merosakkan jalan raya dan menyekat terowong.

Sementara itu, pasukan penyelamat berperang dengan masa dalam keadaan cuaca buruk dan gegaran susulan berterusan untuk mengesan enam mangsa yang masih hilang, termasuk pasangan warga Singapura yang tidak kelihatan sejak turun dari bas persiaran di Taroko Gorge pada 3 April lalu.

Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda sekitar pukul 8 pagi di perairan daerah pantai timur, meningkat kepada 13 orang selepas tiga mayat ditemui di laluan pejalan kaki. 

Kelmarin, helikopter dari Kor Perkhidmatan Bawaan Udara Kebangsaan terbang ke kawasan taman negara untuk mengangkut berpuluh-puluh pelancong yang terkandas ke tempat selamat.

“Gegaran susulan sangat besar dan serius. Saya masih berasa sangat gementar dan takut terutama ketika tidur,” kata seorang paderi, Zhou sebaik tiba di pusat arahan menyelamat.

Lapor The Straits Times pusat itu sangat sibuk dengan pekerja penyelamat dari pelbagai daerah menubuhkan stesen kerja dan menjalankan pemeriksaan kesihatan awal untuk mangsa yang dipindahkan. 

Taiwan berdepan lebih 600 gegaran susulan sejak gempa awal, beberapa daripadanya cukup kuat untuk mencetuskan amaran kepada orang ramai supaya bertenang dan mencari perlindungan.

Bagaimanapun, penyelamat berjaya menghantar kotak makanan dan bekalan kepada sekumpulan murid dan guru yang terperangkap di sebuah sekolah rendah yang tidak dapat diakses melalui jalan raya.

“Para penyelamat tidak berputus asa. mereka adalah wira sebenar Taiwan yang berdaya tahan,” kata Naib Presiden Taiwan, Hsiao Bi-khim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya