SYDNEY: Rangkaian pasar raya Drakes di Australia memulakan percubaan meletakkan penjejak GPS pada bungkusan daging bagi mengurangkan kes kecurian yang semakin meningkat di premis berkenaan.
Rangkaian pasar raya di Australia Selatan itu kini sedang mencuba sistem keselamatan baharu dengan meletakkan potongan daging mahal ke dalam bekas lutsinar yang dilengkapi penjejak GPS bagi memudahkan lokasi produk itu dikesan jika dicuri oleh pelanggan.
Sarung polikarbonat biasanya digunakan untuk mengelakkan kecurian barangan berharga tinggi di pasar raya, tetapi Drakes adalah yang pertama di Australia menggunakannya untuk produk daging mentah.
Secara teknikal, daging berkualiti tinggi seperti Wagyu layak digelar sebagai produk mewah, justeru pihak pengurusan Drakes percaya langkah keselamatan itu wajar dilakukan.
“Bekas itu berharga 35 dolar Australia (RM109.26). Jadi, setiap kali kami membungkus produk daging mentah, kami perlu membayar tambahan kos tersebut tetapi ia memberikan kami bantuan keselamatan 24 jam.
“Kami bercakap tentang daging yang berharga antara 50 hingga 100 dolar Australia (RM156 hingga RM312) sekilogram, jadi ia adalah daging paling berkualiti tinggi yang kami ada.
“Bekas polikarbonat itu tidak boleh dipecahkan atau dibuka secara paksa. Pelanggan perlu membayar terlebih dahulu produk tersebut sebelum ia boleh dikeluarkan di kaunter,” kata Pengarahnya, John-Paul Drake kepada ABC News.
Drakes mendakwa bekalan daging berjumlah lebih 12 juta dolar Australia (RM37.46 juta) dicuri daripada 67 rangkaian pasar raya tersebut di Australia Selatan dan Queensland setiap tahun.