SPRINGFIELD: Seorang lelaki Illinois melakukan 26,100 kali senaman squat dalam masa 24 jam untuk memecahkan Rekod Dunia Guinness dan mengumpul dana bagi badan amal.
Tony Piraino dari Decatur menyasarkan untuk memecahkan rekod 25,000 gerakan tersebut dalam masa 24 jam, yang dibuat oleh lelaki dari Rhode Island, Joe Reverdes pada 2020.
Piraino mengatasi jumlah dicatat Reverdes serta sasarannya sendiri sebanyak 26,000 squat, tetapi video percubaannya masih perlu disemak oleh pakar Rekod Dunia Guinness untuk pensijilan rasmi.
Lelaki bertubuh sasa itu memulakan cangkungannya di KRRAK CrossFit Raising the Bar Fitness Center di Decatur City pada pukul 5 pagi Khamis lalu dan menamatkan percubaan tersebut pada waktu sama keesokan harinya.
Piraino awalnya hanya berehat selama 30 saat selepas setiap 22 gerakan squat, namun kemudian mengambil tempoh rehat yang lebih lama untuk memastikan dia mempunyai cukup tenaga bagi meneruskan usaha itu.
Lapor portal UPI, usaha tersebut berjaya mengumpul dana bantuan untuk badan amal Marion County Horizon Center of Decatur dan Mount Zion.
Badan tersebut menyediakan perumahan, peluang pekerjaan dan sumber lain untuk golongan dewasa yang kurang upaya.