‘Ikan kiamat’ muncul sebelum gempa melanda Taiwan

‘Ikan kiamat’ muncul sebelum gempa melanda Taiwan

SEEKOR ikan oar sepanjang 1.5 meter ditangkap di Filipina sejurus sebelum negara jiran Taiwan menghadapi gempa bumi. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEEKOR ‘ikan kiamat’ yang dikatakan hanya muncul ketika bencana hampir tiba, ditangkap oleh seorang nelayan sejurus sebelum gempa bumi maut menggegarkan Taiwan dua minggu lalu.

Ikan oar biasanya hidup pada kedalaman sehingga satu kilometer di dasar laut, tetapi legenda Jepun mengatakan ia muncul di perairan cetek apabila kejadian seismik akan berlaku.
Ikan itu dilaporkan ditangkap di Filipina sejurus sebelum negara jiran Taiwan menghadapi gempa bumi terbesar dalam tempoh 25 tahun.

Ia ditemui berhampiran Pulau Kalanggaman, kira-kira 1,448 kilometer di selatan pusat gempa, kira-kira 30 jam sebelum gempa bumi berlaku.

Nelayan, Brenjeng Caayon yang menemukan ikan tersebut ketika menaiki bot MB Starlight pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) percaya ia bukan kebetulan.

Bercakap kepada pemberita, Caayon berkata, ikan itu sering dianggap membawa petanda buruk, menyebabkan penduduk akan merasa takut jika menemukannya.

“Saya tidak percaya sebelum ini, tetapi sekarang saya sudah mula percaya. Saya memiliki bot nelayan itu dan mempunyai tiga nelayan di atas kapal. Anak kapal tidak tahu jenis ikan itu dan kali pertama mereka melihatnya.

“Mereka sepatutnya membuangnya semula, tetapi saya menghalang mereka. Saya menyuruh mereka membawanya ke darat.

“Apabila saya melihatnya, saya mengenalinya serta-merta; Saya pernah melihat ikan oar sebelum ini, tetapi tidak sebesar ini,” katanya.

Caayon, 53, berkata, ikan itu panjangnya hampir 1.5 meter dengan berat dianggarkan sekitar 15 kilogram (kg).

“Hidupan laut itu mendapat jolokan ‘ikan kiamat’ kerana ramai percaya petanda bencana yang dibawa apabila ia mula berada di permukaan laut.

“Tetapi saya percaya setiap yang berlaku adalah penyembuhan untuk bumi kita,” katanya.
Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di Taiwan dilaporkan membunuh 13 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 1,000 yang lain.

Kepercayaan terhadap petanda bencana alam ikan oar semakin terkenal selepas gempa bumi dan tsunami Tōhoku pada 2011 yang memusnahkan Jepun.

Pada 2010, Ahli Seismologi Ekologi, Kiyoshi Wadatsumi berkata, spekulasi mengenai legenda makhluk itu mempunyai asas berdasarkan kajian sains.

“Ikan laut dalam yang hidup berhampiran dasar laut lebih sensitif terhadap pergerakan sesar aktif daripada yang berdekatan dengan permukaan laut,” katanya kepada Japan Times.

Bagaimanapun laporan 2019 daripada Buletin Persatuan Seismologi Amerika gagal mewujudkan kaitan antara ikan tersebut dengan gempa bumi yang bakal berlaku dan mendakwanya sebagai kepercayaan karut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya