BAITULMUQADDIS: Pegawai kanan Hamas berkata, hanya gencatan senjata yang dapat membantu menyediakan ruang keselamatan dan tempoh masa mencukupi untuk mengesan tebusan Israel yang ditahan di seluruh Semenanjung Gaza.
Rundingan untuk gencatan senjata dijalankan di Kaherah sejak Ahad, tetapi setakat ini belum ada persetujuan mengenai cadangan yang dikemukakan oleh pengantara Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir.
“Sebahagian daripada rundingan adalah untuk mencapai perjanjian gencatan senjata bagi memperoleh masa dan tahap keselamatan yang mencukupi untuk mengumpul data muktamad dan lebih tepat mengenai lokasi tebusan Israel yang ditawan.
“Ini kerana mereka ditahan di tempat yang berbeza oleh kumpulan yang berbeza. Sebahagian daripada mereka mungkin berada di bawah runtuhan dan kami berunding untuk mendapatkan peralatan berat bagi tujuan ini”, kata ahli biro politik Hamas, Bassem Naim dalam satu kenyataan.
Hamas mengakui awal bulan lalu bahawa pihaknya tidak tahu siapa antara 129 tebusan Israel di Gaza yang masih hidup.
Bassem menjelaskan, nasib tebusan yang didakwa amat penting bagi pihak Israel itu menjadi satu daripada topik perbincangan di Kaherah.
“Ia adalah rundingan gencatan senjata dan bukan rundingan perjanjian tahanan. Perjanjian banduan dan tebusan adalah satu daripada perkara yang perlu dirundingkan,” katanya.
Sementara itu, Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menafikan anak lelakinya yang terbunuh dalam serangan Israel pada 1 Syawal adalah pejuang kumpulan itu.
Ditanya sama ada pembunuhan anaknya akan mengganggu perjanjian pertukaran tebusan dan gencatan senjata, beliau menegaskan, kepentingan rakyat Palestin didahulukan berbanding perkara-perkara lain.
Ketika ditemui di Doha, Ismail memberitahu pihaknya masih lagi berusaha mencapai perjanjian gencatan senjata tetapi Israel seolah-olah sengaja berlengah-lengah dan mengelak daripada memberi respon terhadap tuntutan itu.
Tentera Israel dilaporkan membunuh tiga anak lelaki Haniyeh tanpa merujuk kepada komander tertinggi atau pemimpin politik.
Tindakan itu dilihat berisiko dan merumitkan usaha untuk membebaskan tebusan yang masih berada di Gaza.
Agensi berita Walla Israel melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahupun Menteri Pertahanan, Yoav Gallant tidak diberitahu lebih awal mengenai serangan pada Rabu lalu ke atas anak lelaki Ismail, yang diselaraskan oleh tentera Israel dan perkhidmatan perisikan Shin Bet.
Memetik pegawai kanan Israel, ia melaporkan bahawa Amir, Mohammad dan Hazem menjadi sasaran sebagai pejuang Hamas, dan bukan kerana mereka adalah anak kepada pemimpin politik Hamas.
Tentera Israel bagaimanapun tidak mengulas mengenai empat cucu Ismail yang turut terbunuh dalam serangan itu. -REUTERS