ATHENS: Greece buat pertama kalinya dalam tempoh lebih 100 tahun, membuka semula sebuah masjid bersejarah di utara bandar Thessaloniki demi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Sekitar 70 jemaah yang terdiri daripada pelancong, ahli minoriti Islam Greece, pelajar luar negara dan pelarian dilaporkan menunaikan solat sunat itu di Masjid Yeni Cami ketika pagi 1 Syawal Rabu lalu.
Kali terakhir solat Aidilfitri dapat ditunaikan di masjid berkenaan adalah pada awal 1920-an, iaitu sebelum penempatan semula penduduk antara Greece dan Turkiye berlaku hingga jumlah penganut Islam di bandar itu berkurangan.
“Ini adalah perkara yang indah kerana sebelum ini kami tidak tahu masjid ini wujud.
“Saya tinggal di sini selama 63 tahun dan ini kali pertama saya melihatnya. Kami diberitahu ia membuka pintunya selepas lebih seabad dan itu adalah perkara yang sangat istimewa bagi kami,” kata jemaah minoriti Islam di Greece, Ismael Bedredin.
Masjid tersebut dibina pada 1902 oleh seorang jurubina asal Itali, Vitaliano Poselli dan awalnya digunakan oleh komuniti Yahudi yang memeluk Islam dipanggil Donmeh.
Pada 1922, bangunan dua tingkat itu pernah digunakan sebagai tempat perlindungan pelarian Perang Yunani-Turkiye sebelum diubah suai menjadi muzium arkeologi dan galeri perbandaran.-AP