Gaza sambut Aidilfitri dengan letupan bom

Gaza sambut Aidilfitri dengan letupan bom

RAKYAT Palestin melihat asap berkepul-kepul akibat pengeboman di kawasan pasar Firas di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel bertindak memperluaskan serangan di Gaza ketika sambutan Aidilfitri malah mendakwa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan berikutan kebimbangan serangan balas Iran atas pembunuhan jeneralnya di Damsyik 1 April lalu.

SYAWAL PALING BERDARAH

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, mereka bersedia untuk memenuhi semua keperluan keselamatan baik dari segi pertahanan atau serangan.

“Sesiapa yang mahu cederakan kami, kami akan cederakan mereka. Kami sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan selepas lawatan ke pangkalan tentera udara Tel Nof, di selatan Israel.

Netanyahu membuat kenyataan itu ketika tentera Israel dan pesawat perang meningkatkan operasi besar-besaran di tengah Gaza yang didakwa bertujuan memusnahkan infrastruktur kumpulan bersenjata di Palestin.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan tentera Israel dalam tempoh 24 jam lalu mengorbankan 63 rakyat Palestin dan mencederakan 45 yang lain.

Semalam, pegawai kesihatan Palestin dan media Hamas berkata, serangan udara Israel membunuh Ketua Polis, Rudwan Rudwan yang menguruskan pasukan pihak berkuasa di kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza.

Hamas berkata, Rudwan juga bertanggungjawab menyelia perlindungan konvoi trak penghantaran bantuan kemanusiaan di kawasan utara Gaza.

Sejak pertengahan Ramadan, kebanyakan tentera Israel dilaporkan diarah keluar dari Gaza, sebagai persediaan untuk serangan ke atas bandar Rafah, di mana lebih 1.4 juta rakyat Palestin kini berlindung, namun pertempuran di wilayah lain masih berterusan.

Penduduk berkata, pejuang Palestin terbabit dalam pertempuran bersenjata dengan tentera Israel yang menyerang kawasan utara dan selatan kem pelarian Al-Nuseirat.

Ketika umat Islam Palestin menyambut 1 Syawal, Israel terus melakukan serangan tanpa henti dari udara, darat dan laut yang memusnahkan beberapa bangunan termasuk dua masjid.

Rejim Zionis turut bertindak membedil pasar Firas di Gaza City ketika puluhan penduduk Palestin sibuk membeli barangan keperluan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

TINDAK BALAS IRAN

Menurut saksi yang berkongsi rakaman selepas serangan tersebut di laman Telegram, kekejaman itu mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan puluhan yang lain termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pertempuran di Gaza yang memasuki bulan ketujuh turut dibayangi keadaan tegang di utara di mana tentera Israel berbalas tembakan setiap hari dengan pejuang Hezbollah merentasi sempadan di Lebanon.

Pejuang yang disokong Iran itu dikatakan mempunyai stok senjata peluru berpandu yang besar dan sudah lama dianggap sebagai salah satu kuasa yang digunakan Tehran untuk menentang Israel.

Semalam, Setiausaha Negara AS Antony Blinken merayu menteri luar China, Arab Saudi dan rakan sejawatannya yang lain menggunakan pengaruh mereka untuk menghalang Iran daripada menyerang Israel bagi mengelak ketegangan di Asia Barat.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, Blinken membuat panggilan telefon dengan beberapa rakan sejawatannya dari China, Turkiye, Arab Saudi dan Eropah bagi meyakinkan mereka bahawa peningkatan ketegangan tidak menguntungkan sesiapa dan negara-negara tersebut harus menggesa Iran supaya tidak melakukan serangan balas.

“Blinken juga bercakap melalui telefon dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant untuk mengulangi sokongan padu kami kepada Israel ketika menghadapi ancaman ini,” kata Miller.

Kepimpinan Iran berikrar untuk bertindak balas selepas serangan Israel pada 1 April lalu meratakan bangunan diplomatik Iran di Damsyik dan membunuh tujuh anggota elit Pengawal Revolusi Iran (IRG) termasuk dua jeneral.

AS dilaporkan turut menyekat pekerjanya di Israel dan ahli keluarga mereka daripada melakukan perjalanan peribadi di luar kawasan lebih besar Tel Aviv, Baitulmuqaddis dan Be’er Sheva di tengah-tengah ancaman Iran untuk bertindak balas terhadap musuh serantaunya itu.

Presiden, Joe Biden berkata, sokongan AS untuk keselamatan Israel amat kukuh, walaupun beliau mengkritik tindakan keterlaluan Netanyahu dalam perang di Gaza.

AS  berulang kali merayu China yang dilihat sebagai pesaing utamanya untuk meningkatkan usaha menangani krisis Asia Barat namun Beijing lantang mengkritik Washington kerana sikap berat sebelahnya terhadap Israel.-REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN