GROZNY: Chechnya baru-baru ini mengumumkan peraturan mengharamkan muzik yang berentak terlalu rancak atau terlalu perlahan dimainkan di republik itu.
Republik Russia itu memutuskan bahawa semua muzik harus bersesuaian dengan tempo sekitar 80 hingga 116 denyutan seminit sahaja, bermakna semua muzik rave barat dan tekno akan diharamkan.
Menurut Moscow Times, kementerian kebudayaannya membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan awal minggu ini.
Standard muzik baharu yang diperkenalkan agak perlahan berbanding kebanyakan muzik pop moden dan kerajaan juga akan menolak beberapa genre barat daripada dimainkan secara terbuka dalam masyarakat Islam konservatif itu.
Pemimpin republik itu, Ramzan Kadyrov turut mengarahkan Menteri Kebudayaan, Musa Dadayev untuk memastikan muzik di Chechnya mematuhi mentaliti masyarakat dan komunitinya.
“Meminjam budaya muzik daripada orang lain tidak boleh diterima,” kata Dadayev.
Larangan itu dilaporkan diumumkan selepas pertemuan antara kementerian republik itu dengan artis tempatan dan pemuzik serantau.
Setiap pemuzik, artis dan komposer dilaporkan diberi masa sehingga 1 Jun ini untuk mengolah semula lagu-lagu mengikut kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang enggan berbuat demikian tidak akan dibenarkan untuk mempersembahkan karya seni mereka di khalayak ramai.