243 juta kanak-kanak Asia terdedah ancaman gelombang haba

243 juta kanak-kanak Asia terdedah ancaman gelombang haba

GELOMBANG haba meningkatkan risiko penyakit dan kematian dalam kalangan kanak-kanak-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (UNICEF) menunjukkan lebih 243 juta kanak-kanak di seluruh Pasifik dan Asia Timur terdedah kepada peningkatan suhu yang boleh meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba dan kematian.

Pemantau global memberi amaran bahawa 2024 bakal menjadi tahun paling panas dalam rekod, diburukkan lagi dengan iklim ekstrem dan peningkatan pelepasan gas rumah hijau.

Data menunjukkan beberapa negara di rantau ini sedang berdepan gelombang musim panas dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius.

Badan kaji cuaca tempatan turut  meramalkan kenaikan yang lebih tinggi dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut laporan UNICEF, kanak-kanak lebih berisiko berbanding orang dewasa kerana mereka kurang berkemampuan mengawal suhu badan secara semula jadi.

“Kanak-kanak lebih terdedah kepada kesan perubahan iklim dan haba yang berlebihan berbanding orang dewasa dan keadaan ini memberi ancaman yang boleh membawa maut kepada mereka.

“Justeru, kita mesti berjaga-jaga pada musim panas ini untuk melindungi kanak-kanak serta komuniti yang terdedah daripada gelombang panas dan kejutan iklim yang semakin buruk kini,” kata Pengarah Pejabat Serantau UNICEF untuk Asia Timur dan Pasifik, Debora Comini.

Beberapa sekolah Filipina menggantung kelas secara bersemuka sepanjang April dengan agensi peramal cuaca menjangkakan suhu boleh mencapai tahap bahaya sekitar 43 darjah Celsius di beberapa bahagian negara itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Thailand, kira-kira 40 orang maut akibat penyakit berkaitan haba setiap tahun.

Pada Februari, Vietnam mengalami gelombang haba raksasa di bahagian selatan apabila suhu mencecah sehingga 38 darjah Celsius, paras tinggi tidak normal untuk tempoh terbabit.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN