MOSCOW: Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan tembakan rambang sehingga mengorbankan 60 orang dan 145 yang lain cedera di Dewan Bandaraya Crocus, Moscow, Jumaat lalu.
Pengakuan itu didakwa dibuat menerusi akaun Telegram yang turut memberitahu penembak berjaya melarikan diri selepas serangan tersebut. Bagaimanapun, laporan itu belum dapat disahkan sepenuhnya.
Pejabat Pendakwa Raya mendedahkan beberapa lelaki bertopi dilihat memasuki dewan konsert yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kremlin dan melepaskan tembakan ke arah penonton.
Pengawal keselamatan di lokasi tersebut difahamkan tidak bersenjata dan besar kemungkinan mereka terbunuh semasa serangan.
Pengarah Muzik, Alexei berkata, dia terdengar bunyi beberapa tembakan mesingan dilepaskan dan terlalu banyak jeritan ketika hendak duduk di dalam dewan konsert.
“Ketika itu, saya sedar ia adalah bunyi senjata automatik dan merupakan serangan pengganas,” katanya lapor AFP.
Situasi bertukar hiruk-pikuk dan kelam-kabut apabila berduyun-duyun pengunjung meluru ke arah pintu kecemasan sehingga ada yang tergamak memanjat keluar dengan memijak kepala penonton lain.
Seorang pengunjung lain sempat menceritakan insiden keganasan dan situasi panik yang berlaku di lokasi berkenaan.
“Apabila rempuhan berlaku, semua orang berlari ke arah eskalator. Semua orang menjerit ketakutan,” kongsinya.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin menyifatkan insiden tersebut sebagai tragedi terburuk di negara itu.
Serangan itu menyebabkan berlaku letupan kuat sebelum dewan konsert terbabit terbakar dan bumbungnya runtuh.
Pihak berkuasa tempatan berusaha memadamkan api dan memindahkan 100 penonton lain ke ruang bawah tanah.
Dewan konsert tersebut merupakan antara lokasi paling popular di Moscow yang boleh menampung kapasiti 6,200 pengunjung.
Dua minggu lalu, kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Rusia memberi amaran sebuah kumpulan pelampau merancangan untuk melancarkan serangan di Moscow.
Bagaimanapun, Rusia mempersoalkan bagaimana AS mengetahui perkara berkenaan dan Washington perlu menyerahkan sebarang maklumat segera kepada Moscow, atau berhenti membuat kenyataan sedemikian.-AFP