Doktor rayu PBB akhiri penderitaan di Gaza - Utusan Malaysia

Doktor rayu PBB akhiri penderitaan di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Beberapa panel doktor perubatan merayu agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak tentera Israel menghentikan segera serangan terhadap sistem penjagaan kesihatan di Gaza. 

Sekumpulan pakar perubatan itu berkongsi pengalaman apabila menjadi saksi mengenai penderitaan dan penindasan yang dialami oleh penduduk Palestin di Gaza, lapor Al-Jazeera.   

Doktor sukarelawan, Prof. Nick Maynard, mendedahkan beliau belum pernah melihat sebarang kes penindasan yang jauh lebih teruk terhadap sistem kesihatan di wilayah konflik itu. 

“Ada seorang mangsa serangan berusia tujuh tahun. Namanya ialah Hiyam Abu Khader. Rumahnya dibom oleh tentera Israel sehingga menyebabkan bapa dan abangnya maut, manakala, ibunya mengalami kecederaan. 

“Mangsa pula melecur tahap tiga dan hampir 40 peratus kesan kelecuran di badannya. Dia sepatutnya dipindahkan segera ke Mesir, namun terpaksa menunggu selama beberapa minggu. 

“Mangsa akhirnya meninggal dunia, dua hari selepas dipindahkan kerana usaha menyelamat terlalu lambat,” katanya sambil menunjukkan gambar mangsa semasa sidang akhbar di ibu pejabat PBB, baru-baru ini.  

Seorang doktor di United Kingdom (UK) yang pernah berkhidmat di Gaza memberitahu, dia belum pernah melihat sebarang kesengsaraan yang dialami oleh pesakit sebelum ini. 

Kongsinya, ada kes pesakit yang masih berbekas dalam memorinya dan tidak boleh dilupakan sehingga sekarang. 

“Mangsa melecur terlalu teruk sehingga menampakkan tulang di bahagian mukanya. 

“Keadaan itu menyebabkan dia tiada harapan untuk hidup kerana tiada morfin (ubat tahan sakit) yang dapat diberikan. Amat sedih kerana mangsa mati dalam keadaan begitu tragis di ruang kecemasan hospital,” katanya.  

Data PBB menunjukkan lebih 13,000 kanak-kanak terkorban sejak jenayah pembunuhan beramai-ramai tentera Israel di Gaza, 7 Oktober lalu. 

Angka itu sekaligus menunjukkan jumlah kematian kanak-kanak yang terkorban dalam serangan di Gaza dilaporkan sudah melebihi jumlah yang dicatatkan bagi kesemua konflik yang berlaku di merata dunia dalam tempoh empat tahun (2019 hingga 2022). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya