KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menuduh Moscow mempermainkan nyawa tahanan Ukraine selepas insiden nahas pesawat di barat Russia.
Zelenskyy menuntut siasatan antarabangsa selepas nahas pesawat yang dilaporkan berlaku kelmarin di wilayah Belgorod berhampiran sempadan Ukraine.
Russia berkata, tiada mangsa terselamat selepas Kyiv menjatuhkan pesawat Il-76 bersama 65 tawanan perang Ukraine, enam anak kapal Russia dan tiga pengiring.
Lapor BBC, Moscow mendakwa rakyat Ukraine diterbangkan untuk misi pertukaran banduan.
Ukraine tidak mengesahkan atau menafikan menembak jatuh pesawat itu tetapi menuduh Moscow mencipta ancaman yang disengajakan terhadap nyawa dan keselamatan tawanan perangnya.
Perisikan tentera Ukraine berkata, pihaknya di Kyiv tidak diberitahu untuk memastikan ruang udara selamat sebelum pertukaran tahanan tersebut dibuat.
“Adalah sangat jelas bahawa Russia sengaja mempermainkan kehidupan tahanan Ukraine, perasaan saudara mereka dan emosi masyarakat kita,” kata Zelenskyy menerusi kenyataan video semalam.
Zelenskyy yang membatalkan rancangan perjalanan serantau semalam menegaskan, semua fakta yang jelas berhubung insiden tersebut mesti dipastikan dan disahkan.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan sebuah kapal terbang menjunam diikuti dengan letupan berhampiran perkampungan Yablonovo kira-kira pukul 11 pagi (waktu tempatan).
Gabenor wilayah Belgorod, Vyacheslav Gladkov berkata, pesawat itu terhempas di padang berhampiran kawasan perumahan dan semua orang di dalamnya meninggal dunia.
Laman web Ukrainska Pravda memetik Kakitangan am Ukraine berkata, pada mulanya pesawat itu dimaklumkan sedang mengangkut peluru berpandu untuk sistem pertahanan udara S-300 Russia dan tidak menyebut tentang tahanan penjara.
Sehingga kini tiada butiran tentang identiti mereka yang berada di dalam kapal itu tetapi perisikan tentera Ukraine berkata, Russia bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyatnya di bawah perjanjian yang sudah dicapai mengenai pertukaran tahanan perang.