GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menafikan agensi itu bersubahat dengan Hamas berikutan tuduhan mengabaikan bukti daripada Israel tentang penggunaan hospital di Gaza untuk aktiviti ketenteraan.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, tuduhan sedemikian boleh membahayakan kakitangan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di lapangan.
Beliau mengulas dakwaan duta Israel, Meirav Eilon Shahar yang dibuat Khamis lalu pada mesyuarat Lembaga WHO.
“WHO menyangkal tuduhan Israel pada mesyuarat lembaga eksekutif bahawa WHO bersubahat dengan Hamas dan membutakan mata terhadap penderitaan tebusan yang ditahan di Gaza.
“Tuntutan palsu seperti itu berbahaya dan boleh membahayakan kakitangan kami yang mempertaruhkan nyawa berkhidmat kepada golongan yang terdedah,” kata Tedros menerusi laman X.
Beliau menegaskan, WHO tidak berat sebelah dan bekerja untuk kesihatan serta kesejahteraan semua individu.
Israel mendakwa Hamas beroperasi di hospital di Gaza dan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
Pada Khamis lalu, Tedros dilihat sebak ketika berucap di lembaga eksekutif WHO.
“Hakikat bahawa 70 peratus daripada kematian di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak sepatutnya sudah cukup motif untuk membawa gencatan senjata yang sudah lama tertunggak.
“Jika kita mencari penyelesaian, ia sentiasa ada. Hanya kehendak yang diperlukan,” tambahnya selepas berhenti seketika untuk menenangkan dirinya. – AFP