MUMBAI: Satu rakaman video tular memaparkan sejenis minuman koktel istimewa yang dihidangkan bersama semut hitam, dijual di sebuah restoran di Mumbai, India.
Malah, video itu mengundang kemarahan rata-rata pengguna media sosial.
Lapor NDTV, serangga kecil itu didakwa digunakan sebagai hiasan dalam minuman tersebut.
Rakaman video itu dikongsi oleh pelayan bar yang juga merupakan pencipta kandungan, Nitin Tewari di laman Instagram pada Oktober tahun lalu.
Minuman itu didakwa dijual di Restoran Seefah yang terletak di Hill Road di Bandra, Mumbai.
Dalam video tersebut, vlogger dilihat menikmati minuman berkenaan sambil mendedahkan nama koktel, The Antz yang tertera pada kad menu.
Ramuan minuman koktel itu dikatakan terdiri daripada mezcal, tequila blanco, limau gedang, vetiver, saline dan semut hitam.
“Koktel dengan semut sebagai hiasan di seefah_hillroad. Adakah anda akan mencuba minuman ini?, kongsikan maklumat ini dengan rakan anda yang menggemari minuman seperti ini.” tulis Nitin sebagai kapsyen video itu.
Dalam video tersebut, Nitin turut menyatakan rasa kagum dengan cara penyediaan minuman bersama hiasan unik itu, serta menekankan bahawa semut hitam dalam koktel menambah elemen `sedap dan ranggup’.
Bagaimanapun, video dimuat naik vlogger itu tidak menerima komen positif daripada warganet.
Seorang pengguna media sosial mengecam tindakan vlogger itu yang mempromosikan minuman demikian.
“Saya tidak akan mempromosikan perkara seperti ini, ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya.
Seorang lagi warganet menggesa restoran yang menjual minuman mengandungi serangga kecil itu, ditutup segera.
“India akan menjadi seperti China tidak lama lagi sekiranya kita mempromosikan menu sedemikian.
“Kita perlu berwaspada dan saya menggesa supaya bar seperti ini ditutup,” katanya.