BAGHDAD: Sebuah video yang dikatakan memaparkan objek pelik dipercayai objek terbang tidak dikenali (UFO) sedang berlegar-legar atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq, tular dalam media sosial.
Malah, rakaman video itu turut mengejutkan ramai pengguna media sosial.
Lapor NDTV, video itu mula-mula disiarkan di Instagram oleh artis dan pembikin filem, Jeremy Corbell sebelum ia muncul di platform media sosial lain termasuk aplikasi X.
Klip video hitam putih itu menunjukkan objek kelihatan seperti obor-obor berlegar-legar atas pangkalan operasi bersama AS di Iraq.
Kejadian yang berlaku pada tahun 2018 itu dipercayai dirakam oleh anggota tentera.
Video itu disiarkan di tengah-tengah terdapat laporan mengenai penampakan UFO di seluruh dunia.
Dalam video terbaharu, objek aneh itu kelihatan bertukar warna antara hitam dan putih ketika berlegar-legar atas pangkalan tentera itu.
Corbell mendakwa UFO itu menenggelamkan dirinya dalam sebuah tasik yang mana kekal berada di dalam air selama 17 minit, sebelum muncul semula dan terbang pantas ke arah langit pada sudut 45 darjah.
“Fenomena Anomali Tidak Dikenali (UAP) memaparkan kebolehcerapan yang rendah, tidak kelihatan pada waktu malam dan nampaknya menjejaskan keupayaan penyasaran platform optik,” kata Corbell.
Video itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial, dengan segelintir warganet membandingkan objek itu dengan `kesan kotoran’ pada kamera, manakala yang lain pula mempercayainya adalah benar.
Ini bukan kali pertama Corbell menyiarkan rakaman didakwa UFO berlegar-legar atas pangkalan tentera.
Sebelum ini, pembikin filem itu pernah berkongsi penampakan objek berbentuk segi tiga dan piring terbang perak.