NEW DELHI: Sebuah papan tanda di Bengaluru, India mencuri perhatian warganet di media sosial kerana memberi amaran kepada rakyat mengenai kewujudan bahaya baharu iaitu golongan `zombie telefon pintar’.
Papan tanda amaran itu tertera `berhati-hati dengan zombie telefon pintar’.
Lapor NDTV, amaran jelas itu memberi peringatan kuat mengenai isu gangguan digital semakin meningkat yang ketika ini sedang menyelubungi masyarakat.
Gambar papan tanda amaran itu dikongsi oleh akaun pengguna @prakritea17 di aplikasi X.
Ia dikongsi dengan kapsyen tertera `papan tanda amaran di BLR menyerang seluruh generasi kita secara bersendirian’.
Gambar itu menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial termasuk ada yang mempersoalkan kesahihan papan tanda amaran itu sama ada ia benar.
Seorang lagi pengguna media sosial pula mencadangkan papan tanda sedemikian harus diletakkan di bandar Mumbai.
Istilah `zombie telefon pintar’ menggambarkan individu yang begitu asyik menggunakan peranti mudah alih mereka sehingga berjalan tanpa sedar dan seolah-olah terputus dari dunia fizikal.
Tingkah laku ini bukan sahaja mengakibatkan pengurangan dalam produktiviti dan terputus hubungan sosial, malah boleh menimbulkan bahaya pada keselamatan orang ramai terutamanya apabila individu menggunakan telefon pintar mereka semasa melalui jalan yang sibuk.