Transkrip dedah pesawat pengawal pantai tiada kebenaran berlepas

Transkrip dedah pesawat pengawal pantai Jepun tiada kebenaran berlepas

PEGAWAI penyiasat berdiri berhampiran bangkai pesawat pengawal pantai Jepun di landasan Lapangan Terbang Haneda, Tokyo. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun mengesahkan kapal terbang Japan Airlines yang terbakar akibat bertembung dengan pesawat turboprop pengawal pantai di Lapangan Terbang Haneda, mendapat kebenaran untuk mendarat. 

Bagaimanapun, transkrip perbualan kakitangan menara kawalan trafik udara mendedahkan pesawat pengawal pantai itu tidak diberikan izin untuk berlepas.

Kesemua 379 penumpang dan kru penerbangan JAL516 berjaya diselamatkan selepas pesawat Airbus A350 itu terbakar berikutan pertembungan dengan pesawat turboprop pengawal pantai De Havilland Dash-8 sejurus selepas mendarat di lapangan terbang itu.

Lima daripada enam kru pengawal pantai yang menaiki pesawat turboprop itu meninggal dunia kecuali juruterbangnya mengalami cedera parah.

Dilaporkan, pesawat turboprop pengawal pantai itu dalam misi membantu mangsa gempa bumi yang melanda pantai barat Jepun pada hari Tahun Baharu 2024.  

Pihak berkuasa Jepun baru sahaja memulakan siasatan dan masih terdapat keraguan mengenai situasi ketika nahas berlaku termasuk bagaimana kedua-dua pesawat itu berada di landasan yang sama.

Transkrip arahan kawalan trafik udara disiarkan oleh pihak berkuasa  menunjukkan kapal terbang Japan Airlines itu diberi kebenaran untuk mendarat, manakala pesawat pengawal pantai pula dimaklumkan beralih ke kawasan menunggu berhampiran landasan.

Seorang pegawai biro penerbangan awam Jepun memaklumkan tiada sebarang petanda dalam transkrip itu menunjukkan bahawa pesawat pengawal pantai diberi kebenaran untuk berlepas.  

Menurut pengawai pengawal pantai, juruterbang pesawat turboprop mendakwa dia memasuki landasan selepas mendapat kebenaran.

Bagaimanapun, pegawai mengakui tiada sebarang petanda dalam transkrip itu yang menunjukkan juruterbang telah diberi kebenaran untuk berbuat demikian.       

Menteri Pengangkutan Jepun, Tetsuo Saito berkata, kementerian ketika ini sedang mengemukakan semua bahan objektif kepada pihak berkaitan.

“Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan untuk memastikan semua langkah keselamatan diambil bagi mengelak insiden seperti ini berulang lagi,” katanya.

Lembaga Pengangkutan Keselamatan Jepun (JTSB) bersama agensi di Perancis (pesawat Airbus dibina) dan Britain (dua enjin Rolls-Royce pesawat dihasilkan) sedang menyiasat nahas berkenaan.    

Pihak berkuasa memaklumkan JTSB sudah mendapat perakam suara daripada pesawat pengawal pantai itu.

Sementara itu, beberapa media termasuk akhbar Kyodo dan Nikkei melaporkan polis Tokyo sedang menyiasat sama ada wujudnya kecuaian profesional sehingga menyebabkan nahas itu berlaku. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya