BANGKOK: Kerajaan Thailand bercadang memperkenalkan visa khas kepada pelancong asing yang ingin mengunjungi negara itu untuk mempelajari dan berlatih sukan Muay Thai.
Lapor Bangkok Post, visa khas itu membolehkan para pelancong tinggal selama 90 hari untuk menamatkan kursus latihan Muay Thai.
Menurut penasihat kepada perdana menteri, Pimol Srivikorn, perkara itu diputuskan pada mesyuarat diadakan Jumaat lalu dalam usaha mempromosikan Muay Thai sebagai salah satu soft power negara itu.
“Dengan visa pelancong, warga asing hanya boleh tinggal di Thailand sehingga 60 hari.
“Namun, dengan menggunakan visa khas untuk mempelajari Muay Thai, pengunjung boleh tinggal selama 90 hari,” kata Pimol yang juga pengerusi jawatankuasa khas kerajaan untuk menggalakkan aktiviti berkaitan sukan.
Tambah beliau, kerajaan akan menetapkan tahap standard yang perlu dicapai di kelas.
“Selain itu, pensijilan untuk guru Muay Thai supaya sukan lasak negara dapat disebarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Di samping itu, kerajaan Thailand akan mempromosikan Muay Thai melalui laman sesawang Now Muay Thai.
Ia merupakan platform untuk warga asing yang berminat memilih kursus sukan tersebut di sekitar negara itu.