BANGKOK: Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Laos untuk membawa seorang warga Malaysia yang didakwa `raja dadah’ dan individu penting sindiket dadah transnasional, ke negara itu.
Lapor Bangkok Post, Penolong Ketua Polis Thailand, Jeneral Panurat Lakboon mendedahkan kerjasama antara Kementerian Keselamatan Awam dan ketua polis Laos untuk mengheret 48 suspek dadah yang bersembunyi di negara itu, ke muka pengadilan.
Antara suspek berkenaan merupakan seorang lelaki warga Malaysia dikenali sebagai Ong Gim Wah, 39, yang ditahan di Laos dalam satu operasi bersama, pada 29 Disember tahun lalu.
Lelaki itu didakwa memainkan peranan penting sebagai orang tengah dan penyelaras dalam sindiket dadah di kawasan Segitiga Emas sejak 2006.
Menurut Panurat, penahanan lelaki itu boleh mengehadkan perdagangan dadah yang melibatkan kristal methamphetamine, heroin dan kokain sebanyak 70 peratus.
Malah, katanya, polis Thailand juga berjaya merampas lebih 4.4 tan pil meth.
Panurat juga mendedahkan mengenai operasi memerangi dadah yang dijalankan antara Oktober dan Disember tahun lalu.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada dasar Quick Win kerajaan untuk menangani isu dadah dalam tempoh setahun.
Panurat berkata, pasukan siasatan jenayah narkotik berjaya membuat tangkapan membabitkan 268 kes, merampas tiga tan kristal methamphetamine dan lebih 200 juta pil meth iaitu peningkatan sebanyak 80 peratus berbanding tahun lalu.
Malah, katanya, satu rangkaian dadah utama disekat daripada menyeludup lebih 50 juta pil meth di sepanjang sempadan. – AGENSI