WASHINGTON: Seorang tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang mengaku mendedahkan maklumat sulit ketenteraan kepada China, dikenakan hukuman penjara lebih dua tahun.
Lapor BBC, Wenheng Zhao, 26, mengaku bersalah menyalurkan maklumat berkenaan kepada perisikan China dan menerima rasuah.
Wenheng merupakan pegawai yang bekerja di pangkalan tentera laut Ventura County di Port Hueneme, California.
Menurut pegawai AS, Wenheng menyerahkan maklumat sulit mengenai latihan ketenteraan, arahan operasi dan infrastruktur penting dari tahun 2021 hingga 2023.
“Tertuduh secara khusus mendedahkan maklumat mengenai latihan berskala besar tentera laut AS di rantau Indo-Pasifik serta gambar rajah dan pelan tindakan sistem radar yang terletak di pangkalan AS di pulau Okinawa, Jepun,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Keadilan (DoJ) AS memaklumkan Wenheng secara khusus memasuki kem tentera dan tentera laut yang terlarang untuk `mengumpul dan merekodkan’ maklumat.
Individu itu juga menggunakan `kaedah komunikasi canggih yang sulit untuk menyampaikan maklumat, memusnahkan bukti dan menyembunyikan kaitannya dengan seorang perisik China.
Dia menerima sekurang-kurangnya 14 suapan antara Ogos 2021 hingga Mei 2023 yang keseluruhannya berjumlah AS$14,866 (RM69,033).
Wenheng ditahan polis di California dan mengaku bersalah atas tuduhan mengintip pada Oktober tahun lalu.
Kelmarin, mahkamah daerah California menjatuhkan hukuman penjara selama 27 bulan ke atas tertuduh.
Sementara itu, Penolong Peguam Negara Matthew Olsen menerusi kenyataan memaklumkan Wenheng mengkhianati janjinya untuk mempertahankan negara dan membahayakan mereka yang berkhidmat dalam Tentera AS.
“Jabatan keadilan komited untuk memerangi usaha kerajaan China yang menjejaskan keselamatan negara ini,” katanya.