Tentera Israel musnahkan tanah perkuburan di Khan Yunis

Tentera Israel musnahkan tanah perkuburan di Khan Yunis

PENDUDUK Palestin memeriksa tanah perkuburan yang rosak teruk berikutan serbuan Israel di Khan Yunis di selatan Gaza.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel bertindak merosakkan tanah perkuburan dengan menggali dan mengeluarkan mayat di Khan Younis di selatan Gaza awal minggu ini.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan berbuat demikian bagi mencari mayat tebusan yang dirampas oleh Hamas semasa serangan mengejut 7 Oktober lalu. 

Rakaman tanah perkuburan menunjukkan kawasan itu dijentolak dengan kubur rosak dan musnah sementara mayat manusia dibiarkan terdedah selepas IDF menjalankan operasi di kawasan itu.

Ketika mengulas mengenai kerosakan kubur tersebut, IDF memberitahu, usaha  menyelamatkan tebusan dan mencari atau memulangkan mayat mereka adalah salah satu misi utama mereka di Gaza.

“Itulah sebabnya mayat itu dikeluarkan. Proses pengecaman tebusan yang dijalankan di lokasi   alternatif yang selamat dan memastikan keadaan profesional yang optimum dan penghormatan kepada si mati,” kata jurucakap IDF kepada CNN.

Menurut undang-undang antarabangsa, serangan yang disengajakan ke atas tanah perkuburan boleh menjadi jenayah perang, kecuali dalam keadaan sangat terhad jika tapak tersebut dijadikan objektif ketenteraan.

IDF berkata, apabila maklumat risikan kritikal atau operasi diterima, pihaknya menjalankan operasi menyelamat tebusan yang tepat di lokasi tertentu yang menunjukkan mayat tebusan mungkin dikesan.

“Jika tidak kerana keputusan Hamas untuk menjadikan lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi Israel sebagai tebusan, keperluan untuk pencarian seperti itu bagi tebusan kami tidak akan wujud,” tambah IDF.

Laporan mengenai IDF mengambil mayat dari kubur tersebar di media sosial dan dikongsi secara meluas oleh masyarakat dunia yang marah dengan amalan itu. 

Israel mendakwa 253 orang dijadikan tebusan semasa serangan Hamas dan percaya 132 tebusan masih berada di Gaza sementara 105 daripadanya masih hidup manakala 27 lagi maut.

Imej satelit tanah perkuburan yang diambil oleh Maxar Isnin lalu menunjukkan kawasan itu tidak terganggu, namun kerosakan berlaku selepas IDF berada di kawasan itu pada Rabu lalu.

Menurut video dari tempat kejadian dan saksi tempatan, operasi IDF di sekitar kawasan tanah perkuburan yang turut merangkumi perkarangan hospital Al Nasser dan hospital medan Jordan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 7,000 orang berteduh di perkarangan hospital berkenaan.

Lewat petang Selasa lalu, tentera Israel mula bergerak ke arah lokasi tersebut, menyebabkan orang ramai melarikan diri dengan beberapa video menunjukkan mereka membawa selimut, tilam dan barangan peribadi lain keluar dari perkarangan hospital.

IDF berkata, Hamas meancarkan serangan dari dalam perkarangan hospital tersebut ke arah tentera Israel di Khan Yunis dan pasukan komando dikerah untuk mencari dan membongkar infrastruktur keganasan.

Angkatan Bersenjata Jordan berkata, hospital lapangan yang dikendalikan di sebelah tanah perkuburan di Khan Younis mengalami kerosakan teruk akibat pengeboman berterusan Israel di sekitar kawasan berkenaan semalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya