SANAA: Sekurang-kurangnya 10 anggota Houthi Yaman terbunuh selepas tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga kapal milik kumpulan itu di Laut Merah.
Perkara itu disahkan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran dalam satu kenyataan.
Lapor Al Jazeera, menurut kumpulan Houthi, ketika kejadian, kapal berkenaan sedang melakukan rondaan bertujuan `meningkatkan keselamatan dan kestabilan serta melindungi pelayaran maritim’.
Malah, jelasnya, ketiga-tiga kapal itu juga sedang menjalankan tugas `moral dan kemanusiaan’ untuk menghalang kapal Israel atau pihak yang menuju ke pelabuhan Palestin daripada melalui Laut Merah.
Kelmarin, tentera AS memaklumkan pasukannya menenggelamkan tiga kapal yang melancarkan serangan ke atas kapal kontena Maersk di Laut Merah.
Tentera AS menangkis serangan itu ketika ia meneruskan misi rondaan untuk menentang ancaman kumpulan Houthi.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), helikopter dari kapal perang USS Eisenhower dan USS Gravely melepaskan tembakan ke arah `kapal Houthi’ untuk mempertahankan diri ketika bertindak panggilan kecemasan dari kapal membawa bendera Singapura Maersk Hangzhou.
Jelas CENTCOM, helikopter AS itu menenggelamkan tiga kapal selain membunuh beberapa anak kapal.
Bagaimanapun, CENTCOM menyatakan kapal keempat itu berjaya `melepaskan diri’.
Tambah CENTCOM, Maersk Hangzhou membuat panggilan kecemasan itu selepas ditembak oleh kapal Houthi yang menghampirinya sedekat 20 meter dan cuba merampasnya.
“Ketika helikopter AS bertindak, ia turut terkena tembakan dari kapal Houthi sehingga mendorong mereka membalas serangan itu,” jelas CENTCOM.
Ia merupakan serangan kedua kumpulan Houthi ke atas kapal Maersk Hangzhou dalam tempoh kurang 24 jam.
Pada malam Sabtu, CENTCOM mengesahkan pihaknya menembak jatuh dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ketika kumpulan itu bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu berasingan ke atas Maersk Hangzhou.
Susulan kejadian itu, syarikat perkapalan Maersk berkata, pihaknya menangguhkan operasi pelayaran melalui Laut Merah selama 48 jam.