WASHINGTON: Teleskop Angkasa James Webb (JWST) berjaya merakam dengan terperinci imej luar biasa 19 lingkaran galaksi yang menawarkan petunjuk baharu tentang pembentukan bintang serta struktur dan evolusinya.
Imej-imej itu didedahkan kelmarin oleh sekumpulan saintis yang terlibat dalam projek dipanggil Fizik Pada Resolusi Sudut Tinggi di Galaxi Berdekatan (PHANGS) yang beroperasi merentasi beberapa balai cerap astronomi utama.
JWST dilancarkan pada 2021 dan mula mengumpul data pada 2022, membentuk semula pemahaman tentang alam semesta awal sambil mengambil gambar kosmos yang menakjubkan.
Pemerhatian terbaharu itu datang daripada Kamera Inframerah Jarak Dekat (NIRCam) dan Instrumen Inframerah Pertengahan (MIRI) teleskop terbabit.
Ahli astronomi Universiti Oxford, Thomas Williams yang mengetuai pemprosesan data projek tersebut berkata, imej berkenaan menunjukkan kira-kira 100,000 gugusan bintang dan berbilion-bilion bintang individu.
“Bintang wujud jauh di dalam awan berdebu yang menghalang cahaya sepenuhnya menembusi panjang gelombang yang boleh dilihat. Tetapi awan itu menyala pada panjang gelombang teleskop ini.
“Kami tidak tahu banyak tentang fasa itu dan berapa lama ia bertahan. Justeru, rakaman imej JWST kali ini sangat penting untuk kita lebih memahami tentang fasa awal pembentukan bintang,” jelas Williams.
Sementara itu, Ahli Astronomi Institut Sains Teleskop Angkasa Baltimore, Janice Lee yang menjadi penyiasat utama data itu berkata, imej-imej tersebut membolehkan saintis buat kali pertama mengesan struktur awan habuk dan gas dari mana bintang dan planet terbentuk pada tahap perincian yang tinggi dalam galaksi.
“Imej-imej itu bukan sahaja menakjubkan dari segi estetika, ia juga menceritakan kisah tentang kitaran pembentukan bintang dan maklum balas, iaitu tenaga dan momentum yang dikeluarkan oleh bintang muda ke ruang antara bintang,” katanya.-REUTERS