PERANCIS: Ratusan ribu penduduk di Pulau Reunion, Perancis terpaksa berkurung di dalam rumah selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran tertinggi ribut yang berpotensi memusnahkan harta benda.
Menurut Meteo-France, Taufan Belal melanda pulau berhampiran Lautan Hindi itu, bergerak masuk dari barat laut dengan membawa angin kencang ekstrem.
“Mata ribut sedang melintasi Pulau Reunion, bermula dari bahagian utara,” kata perkhidmatan meteorologi dalam buletin awam terbaharunya.
Badan itu berkata, Taufan Belal bagaimanapun tidak dijangka menjadi taufan tropika yang kuat.
“Kami berada dalam bahagian yang sukar. Kami akan menghadapi hari Isnin yang sukar dan berbahaya,” kata pengawal, Jerome Filippini kepada France Inter.
Sebagai persediaan untuk berdepan tiupan angin kencang yang boleh melebihi 250 kilometer sejam di tanah tinggi, pihak berkuasa menaikkan amaran tahap ungu, menunjukkan bahaya yang akan berlaku sekitar 6.00 pagi (waktu tempatan).
Keadaan itu meletakkan semua 870,000 penduduk, termasuk perkhidmatan kecemasan dengan penutupan yang ketat.
“Semua edaran secara rasmi dilarang atas apa-apa sebab sekalipun sehingga diberitahu kelak,” kata kenyataan rasmi itu.
Pihak berkuasa menggesa penduduk pulau untuk menyimpan bekalan makanan dan air serta tinggal di dalam rumah selama 36 jam selain meletakkan seluruh kawasan pesisir pantai dalam keadaan berjaga-jaga berikutan jangkaan pukulan ombak setinggi 13 hingga 15 meter.
Banyak balkoni dan taman dibersihkan daripada sebarang objek yang boleh dipukul angin atau pecah sementara pekedai dilihat menurunkan papan tanda yang boleh ditanggalkan.
“Kami tidak akan bermain di luar sebagai wira, kami diberitahu untuk tinggal di rumah,” kata penduduk ibu kota Saint-Denis, Jules Dafreville.
Lapangan terbang utama pulau itu turut menangguhkan operasi penerbangan dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron melalui media sosial menggesa penduduk untuk tinggal di dalam rumah.
“Berhati-hati, duduk di rumah,” katanya di laman X.-AFP