BAITULMUQADDIS: Tentera Zionis Israel memperlakukan tahanan wanita dari Gaza dengan kejam apabila mereka dibawa ke penjara menaiki trak yang digunakan untuk mengangkut haiwan.
Peguam Palestin, Hassan al-Abadi menerusi satu pendedahkan kepada portal The Palestine Chronicle berkata, beliau, amat terganggu dengan cara layanan tentera penjajah itu kepada tahanan wanita dari Gaza.
Hassan mengesahkan terdapat lebih daripada 40 tahanan wanita dari Gaza di Penjara Damon, tetapi mereka dihalang daripada berjumpa dengan peguam.
“Sangat menyakitkan hati, tahanan wanita diangkut dalam trak seperti kurungan sangkar haiwan. Mereka diikat, ditutup mata dengan hijab mereka ditanggalkan. Jelas ia sebagai cara untuk menghinakan mereka,” katanya.
Peguam itu juga berkata, apabila tahanan wanita tiba di penjara, pakaian mereka dibiarkan kotor berdarah.
Beliau berkata, kebanyakan tahanan wanita itu juga cedera di pergelangan tangan kerana rantai plastik yang diikat terlalu ketat selama beberapa hari.
“Setibanya tahanan wanita itu di penjara, mereka dibahagikan ke dalam tiga bilik masing-masing mengandungi enam katil besi. Kebanyakan mereka terpaksa tidur di lantai tanpa bantal atau tilam.
“Tahanan memberitahu saya bahawa sajian makanan juga sangat buruk dan penjaga Israel sengaja meninggalkannya di pintu sel selama beberapa jam sehingga ia sejuk. Air juga berbau karat.
“Tahanan wanita dari Gaza juga dilarang berbicara dengan tahanan lain dan mereka terpaksa berkomunikasi secara rahsia,” katanya.
Sementara itu, bekas tahanan, Lama Khater yang ditangkap pada 26 Oktober dan dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran tahanan pada 30 November lalu turut berkongsi pengalaman didera tentera Israel.
Khater berkata, keadaan banduan wanita dari Gaza amat sukar, bermula dengan penculikan mereka semasa pemindahan dari utara Semenanjung Gaza.
“Mereka ditangkap secara rawak, kebanyakannya dari utara Semenanjung Gaza. Tentera Israel juga menahan ibu-ibu yang terpaksa meninggalkan anak-anak mereka dengan orang yang lalu lalang,” tegasnya.
Khater berkata, terdapat juga wanita berusia 80 tahun yang menghidap Alzheimer dan seorang ibu hamil ditahan tanpa diberikan rawatan perubatan dan keperluan mencukupi.