HAVANA: Dua rakyat Malaysia di kem tahanan Teluk Guantanamo yang mengaku bersalah di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan melakukan konspirasi dalam pengeboman Bali pada 2 akan berdepan hukuman penjara 20 hingga 25 tahun di bawah perjanjian prabicara.
Memetik laporan FMT, Hakim Wesley A Braun dari Tentera Udara AS berkata demikian ketika bertanya kepada Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin sekiranya kedua-dua individu itu mengetahui klausa itu dalam perjanjian yang ditandatangani dengan Washington.
Braun juga berusaha mendapatkan jaminan daripada dua lelaki itu bahawa mereka menandatangani perjanjian tersebut secara sukarela tanpa sebarang paksaan dan sedar mengenai implikasinya.
Beliau turut bertanya jika mereka bersetuju dengan klausa lain yang menetapkan sebarang hukuman kurungan boleh dilaksanakan dari tarikh mereka mengaku bersalah.
Berdasarkan nota perbicaraan dilihat FMT, kedua-dua individu itu menjawab secara afirmatif.
Braun berkata, ada perjanjian untuk mahkamah mengesyorkan penghantaran pulang atau pemindahan ke negara berdaulat ketiga selepas mereka mengaku bersalah.
“Di bawah pemindahan sedemikian, anda akan bekerjasama dengan mana-mana syarat dan prosedur negara itu.
“Jika anda gagal mengemukakan penepian semakan rayuan dalam masa 10 hari selepas notis tindakan, mahkamah boleh menarik balik syor itu,” katanya kepada individu berkenaan.
Berdasarkan perjanjian itu, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik turut mengetepikan hak mereka untuk merayu di mana-mana mahkamah terhadap keputusan atau syor mahkamah.
Hakim kelihatan sangat prihatin dengan klausa itu kerana beliau terus bertanya sama ada mereka tahu akan implikasinya.
Selain itu, mereka perlu memberi kerjasama penuh dalam siasatan ke atas warga Indonesia, Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali, yang didakwa mendalangi pengeboman itu.
Mereka juga perlu bersetuju kepada temu bual, deposisi dan keterangan, serta mengambil bahagian dalam pelbagai prosiding atau pendengaran dengan maklumat tepat.
“Jika anda gagal mematuhi peruntukan ini, pihak berkuasa bersidang boleh menarik diri daripada perjanjian ini.
“Kerjasama ini akan diteruskan sehingga 30 hari selepas anda dijatuhkan hukuman, melainkan anda, peguam anda dan pihak berkuasa bersidang bersetuju sebaliknya.” katanya.
Menurut hakim, kedua-dua individu itu bersetuju menarik balik semua usul belum selesai kecuali satu usul berkaitan permintaan untuk kredit hukuman sebelum menandatangani perjanjian itu.
Kredit ialah tempoh yang akan ditolak daripada mana-mana hukuman penjara diterima untuk sabitan.
Selasa lalu, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam pengeboman Bali pada Oktober 2002 selepas 20 tahun dikurung tanpa perbicaraan di Teluk Guantanamo, Cuba.
Mereka bersama Hambali diletakkan dalam kurungan bersendirian sejak ditahan di Thailand pada 2003.
Mereka pertama kali didakwa pada 2018 dengan sembilan kesalahan dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa dan pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 11 kematian.
Rayuan mereka bagaimanapun tidak menyebut sebarang kaitan dengan pengeboman di Jakarta pada 2003.
Sebagai sebahagian perjanjian pengakuan itu, tuduhan keganasan, serangan ke atas orang awam dan struktur awam serta cubaan membunuh digugurkan pihak pendakwaan.